Perodua AXIA menanti pengunjung kelima juta

SERDANG 19 Sept. –  Hadiah kereta Perodua AXIA menanti pengunjung kelima juta Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang akan berakhir pada Ahad ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,  Mohamad Sabu berkata setakat semalam, MAHA 2024 mencapai sasaran kehadiran tiga juta pengunjung sejak bermula pada 11 September lalu.

“Saya jangkakan jumlah pengunjung ke MAHA kali ini akan mencecah lima juta pada hujung minggu ini.

“Bagi menghargai sokongan kuat daripada rakyat Malaysia ke atas MAHA 2024 ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menghadiahkan sebuah kereta Perodua AXIA kepada pengunjung kelima juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata pencapaian itu mencerminkan sokongan padu daripada masyarakat bagi program sebegini.

Bagi pengunjung ketiga juta,  sebuah motosikal dihadiahkan sebagai tanda penghargaan.

Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata sasaran pengunjung sepanjang 12 hari penganjuran MAHA kali ini adalah seramai tiga juta, yang mampu menjana nilai jualan langsung RM40 juta serta nilai potensi pembiayaan kewangan sebanyak RM600 juta.

Menurutnya, berdasarkan laporan harian MAHA, dijangkakan jumlah pengunjung akan naik mendadak pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini.

Justeru, katanya, beliau sudah mengarahkan kementeriannya untuk menggunakan semua aset bas, van, trem dan buggy yang ada di bawah agensi untuk membantu melancarkan perjalanan orang ramai.

Selain kejayaan mencapai sasaran tiga juta pengunjung, Mohamad berkata jumlah jualan benih dan anak pokok daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga telah melebihi daripada jumlah jualan MAHA edisi lepas.

“Ini menunjukkan kecenderungan dan minat orang ramai terhadap sektor pertanian semakin meningkat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment