SPR rekod 35,583 pemilih baharu

PUTRAJAYA 24 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 35,583 pemilih baharu iaitu warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas yang didaftarkan secara automatik dalam tempoh 1 hingga 31 Mei lalu

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 32,566 pemilih baharu didaftarkan  sepanjang April 2025 manakala pada Mac sebanyak 39,241, Februari 34,889 dan Januari 37,683 orang.

Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2025 (DPT BLN5/2025) boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula 24 Jun sehingga 23 Julai ini.

Setiausaha SPR,  Khairul Shahril Idrus berkata DPT BLN5/2025 yang diperaku 23 Jun dan diwartakan 24 Jun juga mengandungi 11,374 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,767 bertukar kategori pengundi atau status.

Katanya, semakan boleh dibuat melalui lima kaedah iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian semakan pendaftaran pemilih di talian 03-8892 7218.

Beliau menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mei 2025 serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya, kategori pengundi atau status supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN5/2025.

Sekiranya nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN5/2025, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Khairul Shahril berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang ingin membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian tersebut boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian sama atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN5/2025.

Sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN5/2025 boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau talian hotline SPR 03-8892 7218.

Nnn

 

 

Related posts

Leave a Comment