KUALA LUMPUR 24 Jun – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) digesa bertindak segera dan tegas untuk menggugurkan penggunaan perkataan “Islam” daripada nama SIS Forum (Malaysia) Berhad.
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang membuat gesaan itu berkata, tindakan itu juga meliputi mana-mana syarikat yang tidak berteraskan akidah dan prinsip Islam yang sah di sisi pihak berkuasa agama.
Menurut Putra langkah ini amat penting bagi menjamin integriti dan kemuliaan agama Islam tidak terus dinodai melalui medium entiti korporat dan bagi memastikan prinsip undang-undang syariah tidak dikesampingkan oleh tafsiran perundangan sivil semata-mata.
Gesaan itu terkandung dalam nota desakan Putra yang dialamatkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SSM hari ini yang diserahkan oleh Naib Presiden Asmawar Samat dan Setiausaha Agung Nasrul Ali Hasan serta beberapa Ahli Dewan Tertinggi Putra.
Salinan nota yang ditandatangani Presiden Putra Ibrahim Ali itu turut dihantar kepada Sultan Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) , Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Dalam Negeri
Menurut nota itu, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun 2025 menimbulkan kekeliruan serius dalam kalangan umat Islam apabila mahkamah memutuskan fatwa MAIS 2014 tidak terpakai ke atas SIS Forum (Malaysia) Berhad.
Ini membuka ruang kepada penyalahgunaan nama “Islam” dan berpotensi mengembangkan fahaman liberal dan plural yang menyalahi asas Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Justeru Putra menegaskan bahawa penggunaan perkataan “Islam” dalam nama sesebuah syarikat perlu mematuhi garis panduan yang jelas dan tidak boleh digunakan oleh mana-mana entiti yang membawa tafsiran bercanggah dengan fatwa negeri atau tidak mendapat pengesahan institusi agama.
“Penggunaan istilah ini oleh SIS Forum disifatkan sebagai menyesatkan dan memperalatkan sentimen agama untuk agenda yang telah ditolak oleh pihak berautoriti agama,” kata Putra.
Putra turut merujuk kepada *Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor*, selaku Ketua Agama Negeri, yang dengan tegas menitahkan agar SIS Forum tidak lagi menggunakan perkataan “Islam” dalam sebarang penerbitan dan aktiviti.
Titah ini menurut Putra adalah selaras dengan usaha menjaga kesucian agama Islam dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Nnnnn