Tidak wajar PM terlibat lantik kehakiman

KUALA LUMPUR 24 Jun – Perdana Menteri Anwar Ibrahim wajar menarik diri daripada memberi nasihat dalam pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman negara, khususnya Ketua Hakim Negara (CJ) dan Presiden Mahkamah Rayuan (PCA), yang kedua-duanya akan kosong awal bulan Julai ini.

Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN),  Takiyuddin Hassan berkata, Perdana Menteri perlu mengelakkan penglibatan beliau dalam pelantikan itu untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga kes beliau diselesaikan di mahkamah.

“Apa yang membimbangkan ialah Perdana Menteri kini masih mempunyai kes yang belum selesai di mahkamah.

Justeru, sebarang penglibatan beliau dalam memberi nasihat berkaitan pelantikan hakim-hakim kanan boleh menimbulkan konflik kepentingan yang nyata, sekaligus menghakis keyakinan rakyat terhadap kebebasan serta integriti institusi kehakiman negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu bagi menzahirkan kebimbangan PN berhubung proses pelantikan yang memerlukan nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan amalan semasa.

PN difahamkan, kedua-dua penyandang jawatan berkenaan tidak ditawarkan penyambungan tempoh perkhidmatan selama enam bulan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan dan menjadi amalan sebelum ini.

Menurut Takiyuddin, dalam sebuah negara hukum (rule of law), keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga mesti kelihatan dilaksanakan.

“Maka, amatlah penting untuk memastikan pelantikan hakim-hakim tertinggi ini dibuat secara bebas, telus dan tanpa sebarang pengaruh politik atau kepentingan peribadi,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Katanya , PN amat bersetuju dengan resolusi yang dibuat oleh Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman yang dianggotai oleh tokoh-tokoh negarawan, pakar-pakar perundangan dan pimpinan-pimpinan NGO serta masyarakat sivil yang prihatin.

Selain menarik diri daripada memberi nasihat dalam pelantikan ini, PN juga mencadangkan satu mekanisme interim perlu diwujudkan, sama ada melalui sebuah Jawatankuasa Khas atau peranan lebih bebas oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi mengelakkan percanggahan kepentingan;

“JAC perlu diperkukuh dan dirombak agar lebih bebas daripada pengaruh eksekutif, termasuk dengan mewujudkan pengesahan silang oleh jawatankuasa pilihan Parlimen seperti diamalkan di negara-negara demokrasi lain,” katanya.

Justeru PN menyeru agar pihak Kerajaan dan semua institusi berkaitan melihat isu ini dengan serius dan bertindak segera untuk memastikan proses pelantikan berjalan dengan penuh integriti, demi mempertahankan kebebasan badan kehakiman serta keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment