KUALA LUMPUR 24 Jun – Penerbangan 22 jemaah umrah kendalian Andalusia Travel & Tours (Andalusia) dijadualkan semula sehingga awal pagi esok selepas ditangguhkan hari ini susulan masalah teknikal melibatkan laluan ruang udara.
Andalusia dalam satu kenyataan berkata, kumpulan jemaah dengan penerbangan Qatar Airways QR845 itu sepatutnya berlepas pukul 9.30 pagi ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Andalusia, dalam tempoh itu semua jemaah dalam keadaan baik, selesa dan kebajikan mereka dijaga sepenuhnya oleh petugas Andalusia dengan menyediakan penginapan, makanan dan sokongan.
Sebaik sahaja ruang udara disahkan selamat, Qatar Airways melakukan perubahan jadual penerbangan untuk terbang semula pada awal pagi 25 Jun.
Terdahulu, melalui Facebook, Pengerusi Eksekutif Andalusia Md Daud Che Ngah dan Pengarah dan Penasihat Undang-Undang, Ida Riswana Idris tampil memberi penjelasan mengenai status terkini perjalanan umrah.
Media sebelum itu melaporkan sekurang-kurangnya 61 jemaah umrah terkandas lebih empat jam di KLIA selepas penerbangan ke Jeddah dibatalkan pada saat akhir.
Pembatalan penerbangan itu dipercayai berpunca daripada tindakan beberapa negara Teluk menutup ruang udara mereka sebagai langkah berjaga-jaga susulan serangan Iran ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar.
Melalui kenyataan itu, Andalusia memaklumkan ruang udara Qatar kini dibuka semula, seperti disahkan Kedutaan Malaysia di Doha dan ini membolehkan penerbangan kembali seperti biasa.
Andalusia akan terus berhubung rapat dan sentiasa berkomunikasi dengan semua syarikat penerbangan dan pihak Kementerian Pelancongan untuk sentiasa mendapat berita terkini dari masa ke semasa.
“Kami juga mengalu-alukan kerjasama semua pelanggan dan orang awam untuk berhubung terus dengan kami melalui talian Hotline : 03-9283 1588 bagi mendapatkan makluman berkaitan,” kata kenyataan itu.
Nnnnn