KUALA LUMPUR 24 Jun – Dr Zambry Abd Kadir dan Johari Abdul Ghani masing-masing kekal sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN).
Pelantikan semula itu diputuskan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam ini yang dipengerusikan Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Zambry dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa pelantikan semula beliau dan Johari itu masing-masing berdasarkan Fasal 8.3(D) serta 8.3(E) Perlembagaan BN.
“Mesyuarat ini diadakan dengan penuh iltizam untuk memperkukuhkan parti sebagai wadah politik inklusif, dan mempertaruhkan tekad untuk kekal bersatu bawah payung BN,” katanya.
Zambry memegang jawatan Setiausaha Agung BN sejak Jun 2021, manakala Johari dilantik sebagai Bendahari Agung pada April 2023.
Sementara itu, Zambry berkata, mesyuarat sama turut mengesahkan kesiapsiagaan penuh BN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
“Kestabilan politik Sabah adalah kunci memperkukuhkan keselamatan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Negeri Di Bawah Bayu,” katanya.
Nnn