RUU henti penempatan haram dapat sokongan

WASHINGTON – Rang Undang-Undang (RUU) dikenali sebagai ‘Stop the Settlements Act’ yang bertujuan menghentikan peluasan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki semakin mendapat sokongan di Kongres.

Menurut Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Joaquin Castro, RUU itu kini mendapat sokongan lebih 50 penaja bersama selepas diperkenalkan di Dewan Perwakilan pada 1 Oktober.

Menurut Castro, cadangan itu bertujuan mengenakan sekatan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam usaha mengambil tanah rakyat Palestin di Tebing Barat atau Gaza.

Beliau berkata peluasan penempatan haram terus menolak rakyat Palestin keluar dari tanah mereka serta menyukarkan usaha mencapai keamanan yang berkekalan.

Terdahulu,  komuniti antarabangsa menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

Menurut kumpulan pemantau penempatan Israel, Peace Now, terdapat sekurang-kurangnya 148 penempatan haram Israel di Tebing Barat dan 15 lagi di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Secara keseluruhannya, kira-kira 750,000 rakyat Israel kini menetap di 163 penempatan tersebut, mewakili sekitar 10 peratus daripada populasi Yahudi negara itu.

Related posts

Leave a Comment