Remaja termuda ditahan bawah ISA

SINGAPURA 21 Feb. – Dua remaja, pelajar sekolah menengah berusia 15 dan 16 tahun, yang menjadi radikal sendiri ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung dengan aktiviti keganasan.

Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), mereka adalah kenalan online Muhammad Irfan Danyal Mohamad Nor, 18, yang ditahan di bawah ISA pada Disember 2022. 

Pelajar 15 tahun itu, merupakan tahanan paling muda diberkas di bawah ISA ditahan pada Disember 2022 dan diberi Perintah Tahanan (OD) manakala remaja, 16 tahun yang dikenakan Perintah Sekatan (RO) diberkas pada Januari 2023. 

Walaupun ketiga-tiga individu itu menjadi radikal secara berasingan, Irfan dan dua remaja itu bertemu menerusi saluran media sosial yang berkongsi ajaran pelampau. 

Siasatan awal mendapati remaja 15 tahun,  pelajar Menengah Tiga ketika ditahan selepas terpengaruh dengan ajaran pengganas online dan menyokong Al-Qaeda dan ISIS. 

Dia juga merancang untuk melakukan serangan bersenjata di Singapura dan menyatakan keinginan untuk mewujudkan pemerintahan khalifah dan pergi ke Afghanistan. 

Remaja itu pernah mempertimbangkan untuk memancung kepala orang bukan Muslim dan menjadi pengebom nekad.

Manakala remaja kedua, pelajar Menengah Empat pernah dikenakan perintah sekatan pada November 2020 ketika berusia 14 tahun apabila didapati berminat dalam kandungan pelampau. 

Dia terus melibatkan diri dalam perbincangan berkaitan ISIS dan menyertai wadah permainan online, Roblox di mana konteks permainan di alam maya itu menyerupai zon konflik fizikal ISIS, seperti di Syria dan bandar Marawi di selatan Filipina. 

Dia juga mahu meniru aksi ISIS di Roblox, seperti menembak dan membunuh “musuh” ISIS, mencerminkan keinginannya untuk menjadi seorang anggota ISIS. 

Menerusi saluran itu juga, dia berkenalan dengan pelajar berusia 15 tahun dan Irfan Daniyal.

Kedua-dua remaja itu akan menghadiri sesi kaunseling agama dengan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) selain menjalani pemulihan psikologi dan sosial.

(FOTO: REMAJA 16 tahun yang dikenakan arahan sekatan oleh ISD terpengaruh dengan platform permainan dalam talian ‘Roblox’ yang bertemakan ISIS. – Foto ISD)

Related posts

Leave a Comment