Wartawan “penjaga nurani demokrasi”

KUALA LUMPUR 21 Jun – Komitmen terhadap kebenaran dan tanggungjawab sosial menjadikan profesion kewartawanan tunjang utama dalam masyarakat yang berinformasi, kata Menteri Pendidikan Tinggi Dr  Zambry Abd. Kadir.

Katanya , peranan wartawan sebagai pemegang amanah yang mengendong maklumat semakin penting untuk menapis fakta daripada kepalsuan, melapor dengan saksama dan menegakkan prinsip “berkata benar walau pahit,”.

Justeru, pengamal media dituntut untuk terus berpegang teguh kepada integriti, kebenaran dan tanggungjawab sosial dalam mendepani zaman pascanormal dan era pascakebenaran, di mana berita palsu termasuk teori konspirasi mudah tersebar dan ia mencabar kepercayaan masyarakat terhadap media.

“Di sinilah wartawan moden mesti kembali kepada asas berpegang teguh pada kebenaran dan tanggungjawab sosial. Komitmen terhadap kebenaran dan tanggungjawab sosial menjadikan profesion kewartawanan tunjang utama dalam masyarakat yang berinformasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024 Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas di sini malam tadi.

Majlis anjuran MPI itu dihadiri oleh penggiat media, wakil agensi berita tempatan serta penerima pelbagai kategori anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2024 termasuk Tokoh Wartawan dan Hadiah Kajai.

Menurut Zambry, wartawan bukan sekadar pelapor peristiwa, malah “penjaga nurani demokrasi”, pengawal hati nurani masyarakat yang sentiasa bergejolak dengan pertanyaan penuh rasa ingin tahu mengenai apa yang benar dan apa yang adil.

Katanya, kebebasan media yang beretika bukanlah satu ancaman, sebaliknya menjadi benteng terakhir untuk memastikan kezaliman dan manipulasi maklumat dapat dicegah.

Tegasnya, pena dan lensa pengamal media ibarat obor yang menerangi jalan demokrasi, menuntun masyarakat keluar daripada kegelapan penindasan dan kejahilan.

“Tokoh pemikir dan falsafah, Albert Camus, mengingatkan kita, akhbar bebas tentu saja boleh menjadi baik atau buruk, tetapi tanpa kebebasan ia pasti akan menjadi buruk belaka.

“Pesan Camus ini menegaskan betapa kebebasan media adalah prasyarat kepada media yang berintegriti. Tanpa kebebasan, “wartawan kehilangan jiwa”, dan “khalayak kehilangan suara,” ujarnya.

Tambahnya, di dalam konteks kewartawanan, erti kata Martí ini menggariskan bahawa kebebasan akhbar menjamin wartawan dapat berkata benar dengan tulus, tanpa takut atau berpura-pura.

“Hanya dengan kebebasan dan kejujuran beginilah demokrasi dapat berfungsi dengan sihat, kerana maklumat yang diterima rakyat adalah sahih lagi telus,” katanya.

Zambry turut menyentuh cabaran kewartawanan era digital yang mengubah landskap media dengan pantas, menyaksikan ledakan berita serta penularan maklumat palsu.

Salah satu kebimbangan utama, adalah kemunculan “filter bubble”, di mana individu hanya terdedah kepada kandungan yang selari dengan kepercayaan mereka yang sedia ada, sekali gus meningkatkan potensi membawa kepada polarisasi yang lebih besar dan pemahaman yang terpesong daripada kebenaran.

“Apabila audien terperangkap dalam gelembung ini, fungsi wartawan sebagai penyampai kebenaran menjadi lebih mencabar. Wartawan perlu memecahkan dinding gema dengan laporan yang inklusif dan berimbang,” katanya.

Katanya, di satu sudut, transformasi digital ini membawa peluang luar biasa, satu platform baharu untuk menyampai berita, analitik data untuk memahami audien dan AI untuk membantu kerja rutin wartawan.

“Namun di sudut lain, ia membawa cabaran getir yang perlu direnungi bersama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment