KUALA LUMPUR 21 Jun – Kementerian Pendidikan Tinggi komited untuk memastikan kurikulum kewartawanan kekal relevan, menggabungkan AI, analisis data, undang-undang siber dan etika profesional.
Menterinya, Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementerian turut menggalakkan kerjasama yang lebih kukuh antara universiti dan organisasi media melalui penyelidikan bersama, latihan dan kolokium berfokuskan etika.
“Kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan organisasi media perlu diperkukuh bagi melahirkan wartawan berilmu, beretika dan peka terhadap isu semasa termasuk kecerdasan buatan (AI), undang-undang siber dan analitik data,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI – Petronas 2025, di sini malam tadi.
Dalam pada itu Zambry turut memuji peranan MPI sebagai institusi yang memartabatkan kewartawanan melalui anugerah, latihan profesional serta inisiatif ilmiah seperti penerbitan jurnal E-Kewartawanan pertama di negara ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah Tokoh Wartawan Negara kepada Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Wong Chun Wai, dan Anugerah Khas kepada bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Allahyarham Rozaid Abdul Rahman.
Anak sulung Allahyarham, Roz Ariffin, menerima anugerah bagi pihak Rozaid, mantan wartawan yang memulakan kerjaya di Utusan Melayu sebelum berkhidmat di The Star dan Sinar Harian.
Zambry juga melancarkan penerbitan e-Jurnal yang merupakan satu lagi usaha MPI dalam memperkasakan penulisan ilmiah dalam kalangan wartawan terutama dalam aspek kajian berkaitan kewartawanan, media dan komunikasi.
Sementara itu, laporan pendedahan Harian Metro dan Metro Ahad menerusi laporan eksklusif sejak 7 September tahun lalu dengan tajuk ‘Rumah Penyeksaan’ yang mendedahkan sisi gelap rumah kebajikan yang dinaungi oleh GISBH diangkat sebagai pemenang Hadiah Kajai.
Laporan berita dihasilkan Penolong Pengarang Berita Harian Metro (HM), Yusmizal Dolah Aling bersama wartawan, Raja Noraina Raja Rahim, Muhaamad Hafis Nawawi dan Muhammad Saufi Hassan diangkat sebagai pemenang utama Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2024, malam ini.
Dalam pada itu, Ketua Kreatif Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Rizal Mohamed Nor dinobatkan sebagai pemenang pingat emas kategori Reka Letak Halaman Terbaik manakala Penolong Ketua Kreatif Utusan Malaysia, Mohamad Sany Misnan memenangi pingat gangsa bagi Kategori Infografik Terbaik.
Nnnn
