KLUANG 21 Jun – UMNO Bahagian Sembrong mentulangi hasrat supaya bekas ketua bahagiannya, Hishammuddin Tun Hussein ‘diterima semula’ dalam kepemimpinan parti.
Perkara itu disuarakan secara terbuka dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, tahun kedua UMNO bahagian itu membawa usul supaya penggantungan Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa syarat.
Susulan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Onn Hafiz Ghazi, akan membawa usul ini itu ke peringkat tertinggi parti.
Onn Hafiz ketika berucap merasmikan mesyuarat itu hari ini memulakan ucapan dengan mengenang peranan besar Hishammuddin yang dianggap sebagai ‘sifu’ dalam permulaan karier politiknya.
“Sembrong ini bukan sekadar kawasan politik, ia tempat saya mula belajar dan mengenal erti perjuangan dan orang yang membawa saya ke sini ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,” katanya di Rumah Komuniti UMNO Sembrong di sini.
Menurut Menteri Besar Johor itu, walaupun Hishammuddin tidak hadir dalam majlis berkenaan, usul yang dikemukakan mencerminkan penghargaan ahli akar umbi terhadap kepemimpinan Hishammuddin.
“Saya dimaklumkan ada usul supaya pucuk pimpinan UMNO mempertimbangkan semula untuk menerima beliau kembali di peringkat UMNO Bahagian Sembrong.
Insya-Allah, sebagai Pengerusi UMNO Johor, saya akan bawa usul ini ke peringkat tertinggi,” katanya.
UMNO sebelum ini membuat pembersihan besar-besaran parti apabila beberapa pemimpinnya digantung dan dipecat antaranya Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Hishammuddin digantung selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Pada 11 Disember lalu, media melaporkan Hishammuddin mengulangi pendirian untuk tidak merayu keputusan penggantungan keahliannya atas alasan sehingga ke hari ini tidak tahu punca penggantungannya selama enam tahun itu.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, usul dibawa bahagian itu, selaras dengan kehendak majoriti ahli perwakilan yang mahu bekas Menteri Kanan Pertahanan itu kembali aktif dalam parti.
“Ini tahun kedua. Tahun lepas pun UMNO Bahagian Sembrong membawa usul yang sama supaya penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin itu ditarik balik.
“Kehendak ahli-ahli di Sembrong jelas di mana mereka mahu penggantungan itu dilepaskan tanpa syarat,” katanya.
Abdul Ghani menegaskan, langkah itu dilihat penting lebih-lebih lagi dengan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 yang semakin hampir.
“Bagus kalau pemimpin-pemimpin seperti beliau dapat dikembalikan. Datuk Seri Hishammuddin seorang yang mempunyai aura tersendiri, khususnya di Parlimen Sembrong. Saya hampir pasti 100 peratus pengundi Sembrong mahukan beliau kekal sebagai calon parlimen,” katanya.
Katanya, pengalaman luas Hishammuddin dalam kerajaan dan UMNO sangat diperlukan dalam usaha memperkukuh semula parti dan membantu kepimpinan negara.
“Saya berharap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat menimbangkan usul ini dengan sewajarnya,” katanya.
Nnnn