SEPANG 21 Jun – Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dihentikan selama kira-kira tiga tahun akan beroperasi semula sepenuhnya bermula pukul 10 pagi, 1 Julai depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat selepas projek naik taraf Aerotrain memasuki fasa akhir dan melalui beberapa siri ujian keselamatan termasuk Ujian Tindak Balas Kecemasan (ERP).
Katanya , pelbagai ujian telah dan sedang dilaksanakan termasuk simulasi bersama pasukan keselamatan serta pasukan tindak balas kecemasan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Salah satu ujian penting yang akan dilaksanakan pasukan tindak balas kecemasan Malaysia Airports (MAHB) iaitu bagaimana kita bertindak balas sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Sekiranya semuanya berjalan lancar, Aerotrain KLIA akan kembali beroperasi bermula 1 Julai ini,” katanya pada sidang media selepas sesi pratonton media Aerotrain di Terminal 1, KLIA, di sini.
Beliau berkata, setiap tren terdiri daripada tiga koc dengan satu koc mampu memuatkan 90 orang penumpang, menjadikan kapasiti keseluruhan bagi setiap perjalanan mencecah 270 orang.
Terdapat tiga set tren keseluruhan dengan dua koc akan beroperasi secara bergilir sepanjang masa manakala satu lagi set tren akan dijadikan sebagai back up (simpanan) untuk waktu-waktu puncak.
Katanya, sepanjang tempoh operasi harian dari pagi hingga malam, kedua-dua landasan akan digunakan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang.
Bagaimanapun, menurutnya, pada waktu tertentu yang diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan iaitu pada pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi, hanya satu tren akan beroperasi setiap hari.
Pada masa sama, perkhidmatan bas pengantara yang sebelum ini digunakan untuk menggantikan Aerotrain akan diteruskan sebagai opsyen kepada penumpang berikutan pergerakan besar penumpang pada masa ini dan pelan sokongan kepada sistem Aerotrain sehingga operasi berjalan lancar sepenuhnya.
Pada Mac 2022, MAHB mengumumkan menganugerahkan Projek Penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa untuk disiapkan selama tiga tahun.
Bagaimanapun, projek berkenaan mengalami kelewatan dan disusuli dengan penganugerahan projek baharu pada Januari 2024 kepada konsortium merangkumi Alstom, pengeluar peralatan asal Aerotrain dan JMC-Pestech JV untuk mengemudi projek itu agar kembali kembali ke landasan asal