MB Perlis gagal rebut YDP Pas Arau

ARAU 22 Jun  – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli gagal merebut jawatan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Arau dalam pemilihan parti hari ini selepas tewas kepada penyandang, Solahudin Azmi.

Mohd Shukri hanya meraih 43 undi berbanding Solahudin yang memperoleh 128 undi bagi membolehkannya terus memimpin Pas Arau untuk sesi 2025-2027.

Bagi perebutan jawatan Timbalan YDP, Exco Belia dan Sukan Negeri, Mohd Ridzuan Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji menang mudah apabila meraih 135 undi menewaskan penyandang, Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan yang hanya memperoleh undi sebanyak 34 undi.

Dalam persaingan bagi jawatan Naib YDP pula, Exco Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Negeri, Razali Saad yang juga ADUN Simpang Empat tewas apabila hanya memperoleh 39 undi berbanding pencabarnya yang juga penyandang jawatan itu, Mohd Yusairi Mansor yang menang dengan undi sebanyak 130 undi.

Pas Kawasan Arau mengadakan mesyuarat agung tahunan hari ini membabitkan 173 perwakilan daripada 60 cawangan.

Solahuddin dalam ucapannya menzahirkan kesyukuran apabila berjaya mempertahankan jawatan itu sekali lagi.

“Keputusan ini menunjukkan keyakinan perwakilan terhadap gandingan kepemimpinan kawasan sedia ada dan ini tidaklah menjejaskan peranan dan sumbangan besar pemimpin kerajaan negeri dalam memacu pentadbiran berlandaskan prinsip Islam dan jemaah.

“Kekalahan dalam pemilihan ini tidaklah bermaksud ahli menolak kepimpinan kerajaan negeri, sebaliknya ia adalah proses biasa dalam budaya politik Pas yang matang.

“Pertandingan dalam pemilihan ini membuktikan bahawa Pas mengamalkan demokrasi tulen di peringkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri melalui Facebooknya mengucapkan tahniah kepada seluruh saf kepemimpinan Pas Kawasan Arau yang berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-51 dengan penuh semangat dan tertib.

“Secara peribadi, saya ingin merakamkan rasa terima kasih kepada semua perwakilan dan ahli jamaah yang hadir, kerana dengan kehadiran dan ucapan-ucapan yang disampaikan, memberi kesedaran kepada saya.

Ia menjadi ruang muhasabah buat diri saya, dalam mengimbangi tanggungjawab saya sebagai pemimpin kerajaan dan sebagai anggota parti yang telah kita bina bersama,” katanya.

Beliau amat berharap agar barisan kepemimpinan Pas Kawasan Arau yang baharu akan terus memperkukuh saf perjuangan, serta membantu memperteguh Kerajaan Perikatan Nasional Negeri Perlis lebih-lebih lagi menjelang PRU ke-16 yang semakin menghampiri.

“Arau pasti terus unggul dengan saf kepimpinan yang kukuh, dibantu pula oleh tokoh ulung kita, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Arau yang hebat dan dahsyat, tidak pernah mengenal penat dan lelah dalam memacu perjuangan ini ke hadapan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment