- SEPANG 21 Mei – Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. (Andalusia) menyasarkan 30,000 jemaah umrah akan mendaftar dengan syarikat pengendali haji dan umrah itu menjelang 1 Muharam 1447 akan datang.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, setakat ini sebanyak 22,000 jemaah sudah mendaftar dengan Andalusia dengan sasaran setahun masih kekal 80,000 jemaah.
Katanya, penerbangan pertama umrah selepas musim haji dijadualkan berlepas pada 12 Jun depan, selepas berakhirnya musim haji.
Dalam pada itu, beliau mengesyorkan jemaah umrah mengambil peluang untuk menunaikan ibadah itu pada bulan Julai, Ogos, September dan Oktober di mana dijangka cuaca lebih baik serta jemaah tidak terlalu ramai.
“Ketika ini, cuaca dan suhu di Tanah Suci panas sedikit, sehingga Jun namun keadaan pada Julai, Ogos, September dan Oktober dijangka lebih baik serta orang juga tidak terlalu ramai,” katanya.
Beliau memberitahu demikian selepas majlis memeterai kerjasama dengan unit penerbangan haji dan umrah Malaysia Aviation Group (MAG), Amal by Malaysia Airlines di Putrajaya baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor; Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.
Mengenai kerjasama strategik dengan Amal, beliau menyambut baik langkah itu yang memberi jaminan kepada jemaah yang mendaftar dengan 13 syarikat mendapat jaminan tiket penerbangan yang sah.
Andalusia sebelum ini sudah pun menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan berkenaan di samping Saudia Airlines dan Air Arabia.
Bagi musim umrah 1447 ini, Amal memperuntukkan 200,000 tempat duduk di mana 50 peratus diperuntukkan untuk 13 syarikat pengendali umrah tempatan dan bakinya untuk jemaah luar negara.
Syarikat berkenaan adalah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd; Glocal Travel & Tours Sdn. Bhd; Hafiz Travel & Tours Sdn. Bhd.; In Saf Travel & Tours Sdn. Bhd; KRS Travel & Tours Sdn. Bhd.; MKM Travel & Tours Sdn. Bhd;, Qahwa Travel & Tours Sdn. Bhd.
Rayhar Travel Sdn Bhd.; TH Travel & Services Sdn. Bhd.; Touch Me Travel & Tours Sdn. Bhd.; Tiram Travel Sdn. Bhd.; Widad Travel & Tours Sdn. Bhd., dan Wira Saujana Travel & Tours Sdn. Bhd.
Nnnn