PTPTN: Amalan pilitik populis tanpa formula

SEPANG 21 Mei  – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim tidak wajar untuk terus berdalih mengenai kegagalan melaksanakan pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Wirawati Putra, Nurhafizah Jamalludin berkata, Ketua Angkatan Muda Keadilan itu juga gagal memperkenalkan alternatif yang lebih adil, bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh golongan muda.

“Ramai graduan yang termakan dengan janji-janji Adam Adli menghadapi kesukaran untuk memulakan hidup, membeli rumah, atau menyimpan wang kerana perlu membayar pinjaman PTPTN.

Malah, ada yang disenaraihitamkan dalam sistem kewangan seperti CCRIS dan CTOS, sekali gus mengehadkan peluang ekonomi mereka secara jangka panjang,” kata Nurhafizah dalam satu kenyataan.

Beliau membuat kenyataan itu susulan pengakuan Adam Adli bahawa meskipun impian rakyat untuk mendapatkan pendidikan percuma adalah aspirasi murni, namun pelaksanaannya menuntut komitmen yang jauh lebih besar daripada sekadar iltizam politik.

Menurut Nurhafizah, pemansuhan pinjaman PTPTN telah menjadi antara janji paling berpengaruh dalam kempen pilihan raya umum (PRU) lalu, terutamanya dalam kalangan ahli politik yang mahu meraih sokongan belia.

“Namun begitu, apabila janji tersebut gagal ditunaikan selepas menang pilihan raya, kesannya amat besar dan merugikan kepada generasi muda di negara ini, khususnya pelajar dan graduan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurhafizah berkata , janji untuk memansuhkan pinjaman PTPTN dijadikan modal politik yang sangat mudah dimainkan, membangkitkan harapan tinggi dalam kalangan pelajar dan graduan yang terbeban dengan hutang pendidikan.

Bagaimanapun apabila janji itu gagal ditunaikan, ia mencetuskan rasa kecewa dan pengkhianatan yang membuatkan semakin ramai anak muda mula melihat ahli politik sebagai tidak jujur dan hanya bersandiwara untuk mendapatkan undi.

Ia sekali gus menyebabkan kemerosotan keyakinan terhadap sistem politik dan demokrasi itu sendiri.

“Janji pemansuhan pinjaman PTPTN adalah contoh klasik politik populis yang dimainkan terutama oleh Adam Adli yang menjanjikan sesuatu yang sangat digemari rakyat, tetapi tiada ‘formula’ pelan kewangan atau dasar jangka panjang yang jelas.

Ia memberi gambaran bahawa ahli politik tidak peduli tentang kelangsungan institusi atau kesan fiskal kepada negara, sebaliknya hanya mengejar kemenangan pilihan raya.

Budaya ini membahayakan struktur demokrasi negara kerana ia menormalisasikan penipuan politik dan mengorbankan dasar yang realistik demi retorik kosong,” katanya.

Wirawati berpendapat, Adam Adli tidak mampu menyusun strategi, merancang, membina dasar yang realistik untuk masa depan pendidikan negara sebaliknya hanya cakap kosong dan beretorik sepanjang menjadi aktivis pelajar apatah lagi selepas menyertai PKR dan menjadi Timbalan Menteri.

Katanya, ramai anak muda menjangkakan beliau akan menghidupkan kembali perjuangan pendidikan percuma, namun sehingga kini, tiada dasar konkrit atau roadmap pendidikan percuma diumumkan oleh beliau secara jelas sehingga kini.

“Inilah dia ‘eksploitasi politik popular’, masih belum ada langkah dengan idealisme tulen. Apakah ini bermaksud realiti pentadbiran perlu dicabar? Wirawati Putra berharap rakyat terutama pengundi muda perlu matang menilai antara janji dan realiti bila tiba musim pilihan raya nanti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment