Rafizi bangkitkan soal adab, hierarki PKR

IPOH 19 Mei – Penyandang Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli membangkitkan soal adab dan hierarki dalam parti selepas dua tindakan parti yang dianggap ‘membelakangkan’ kedudukannya sebagai orang nombor dua dalam parti.

Rafizi dalam kempen HIRUK di sini membangkitkan soal surat kepada presiden parti Anwar Ibrahim, untuk memaklumkan keputusannya menolak jemputan merasmikan kongres sayap Pemuda (AMK) dan Wanita parti itu.

Keduanya, beliau yang akan dicabar Nurul Izzah Anwar menyentuh tentang majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam ucapannya, Rafizi meluahkan rasa kesal apabila kandungan surat sulit yang dihantarnya kepada Anwar serta Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh bocor kepada umum.

Beliau berkata, surat berkenaan yang menyatakan hasratnya untuk tidak merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita adalah bersifat peribadi dan tidak seharusnya dijadikan bahan serangan politik dalaman.

“Saya tulis surat pada dua orang sahaja. Kepada Anwar, dan salinan kepada setiausaha agung. Siapa yang bocorkan ni? Macam mana boleh bocor? Surat itu surat sulit! Bukan saja boleh bocor (dan dilaporkan di) berita, (keseluruhan) surat itu terus keluar (dibocorkan),” katanya.

Justeru keputusannya untuk tidak merasmikan Kongres AMK dan Wanita, dibuat atas pertimbangan prinsip dan bukan kerana emosi atau sentimen peribadi sebaliknya tidak normalisasikan perkara yang salah.

Menteri ekonomi itu juga membandingkan situasi itu dengan kebocoran serupa pada 2019 yang melibatkan surat yang ditulisnya kepada Anwar yang memberi amaran tentang “kartel dan watak gelap” dalam parti yang juga disebar.

“Dia gunakan itu, dia kata ini merajuklah, emosional, tak professional… dia bukan isu bocor tapi saya memang tunggu bola tanggung,” sindirnya, menggunakan metafora badminton untuk mencadangkan dia bersedia untuk kritikan.

Semalam, Rafizi dilapor telah memaklumkan secara rasmi kepada Anwar mengenai keputusannya untuk menolak jemputan sayap parti itu.

Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya telah menerima salinan surat itu dan berharap Rafizi akan mempertimbangkan semula.

Rafizi berkata walaupun sudah menjadi kebiasaan bagi timbalan presiden merasmikan kongres AMK dan Wanita, peranan itu juga termasuk melancarkan jentera utama parti terutama menjelang pilihan raya.

“Kita ada adab dan hierarki dalam parti. Memang betul adab dan hierarki parti, timbalan presiden rasmikan AMK dan Wanita. Memang betul.

“Tapi adab dalam parti, hierarki dalam parti, adalah (timbalan presiden) melancarkan jentera pilihan raya sesuatu yang sepenting seperti PRN Sabah, itu adalah adabnya dilakukan oleh timbalan presiden yang juga adalah pengarah pilihan raya. Ada adab dia,” katanya.

Rafizi turut melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman satu lagi acara pelancaran, yang menurutnya belum dibincangkan sama ada di peringkat biro politik atau majlis pimpinan pusat (MPP).

“Tiada mesyuarat, tiada makluman rasmi. Tiba-tiba keluar poster mengatakan Nurul Izzah dan Amiruddin (Menteri Besar Selangor Amirudin Shari) akan melancarkan jentera pilihan raya pada tarikh dan masa yang sama dengan program (Jelajah HIRUK) saya,” tegasnya.

Beliau berkata, langkah tersebut meletakkan pemimpin akar umbi dalam dilema serta menggambarkan kelemahan komunikasi dalam pengurusan parti.

“Kita mesti ada tatacara, mesti ikut adab. Kalau semua benda dibuat ikut suka, macam mana kita nak urus parti dengan baik?” katanya yang menyatakan Nurul Izzah sepatutnya berkempen di Sabah pada 19 hari bulan.

Rafizi juga menegaskan bahawa tindakan beliau bukanlah untuk menghalang sesiapa, sebaliknya demi memastikan parti kekal berdisiplin dan menghormati struktur yang telah lama diamalkan.

Rafizi menegaskan dia tidak kisah jika ada pihak lain yang ingin menggalas tugasnya, namun mempersoalkan kekurangan penyelarasan.

“Saya tak kisah kau nak pikul sangat silalah saya tak ada masalah…Tetapi kenapa kita tidak berpandukan adab sehingga dia menyusahkan pimpinan-pimpinan cabang di bawah? Kenapa kita meletakkan mereka dalam serba-salah?” soalnya.

Sebelum ini dilaporkan 21 daripada 25 cabang PKR di Sabah menyokong Nurul Izzah dan Amirudin. Beberapa ahli juga dilaporkan mengkritik pendirian Rafizi sebagai “tidak profesional” menjelang pemilihan parti pada 23 Mei.

Rafizi turut memberi amaran agar parti tidak membiasakan diri melanggar adab hanya kerana kepentingan sesetengah pihak, khususnya menjelang pemilihan parti akan datang.

“Kita diajar dalam parti ini, kalau sesuatu itu tidak betul, kita mesti bersuara. Jangan kita normalisasikan perbuatan yang salah,” katanya.

Rafizi turut mengingatkan bahawa prinsip konsistensi adalah penting dalam politik, dan kepimpinan parti perlu menunjukkan teladan yang baik, sama ada ketika menjadi kerajaan mahupun pembangkang.

“Kita tak boleh benarkan dua set standard. Masa pembangkang lain, masa kerajaan lain. Itu bukan budaya reformasi,” ujarnya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment