Biar berurusan terus dengan perwakilan

BUKIT MMERTAJAM19 Mei – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kekal dengan pendirian untuk tidak berdebat dengan Rafizi Ramli sebaliknya akan terus berurusan dengan perwakilan, berbaki lima hari menjelang pemilihan parti.

Calon bagi jawatan Timbalan Presiden itu yang akan mencabar Rafizi berkata, beliau mahu terus menyantuni perwakilan serta memberi keutamaan untuk mendekati dan bertemu akar umbi di setiap cabang parti itu.

“Kita mahu menyantuni perwakilan dan apabila berhadapan dengan rakan, inilah semangat yang kita mahu garapkan. Biar saya fokus untuk berurusan dengan perwakilan dan bahagian,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program Temu Rapat Akar Umbi Zon Utara di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek merangkap Menteri Pendidikan yang akan mempertahankan jawatannya dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Dr Mohamad Abdul Hamid.

Nurul Izzah yang juga Pengerusi MPN Pulau Pinang turut menegaskan ‘pertempuran sebenar’ bukan terletak pada pemilihan parti sebaliknya beliau mahu setiap anggota fokus kepada matlamat utama dalam memastikan kesiapsiagaan terutama dalam berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

“Contohnya semalam (kelmarin) di Sabah, apabila kami dijemput oleh kepemimpinan negeri, perbincangan lebih kepada persediaan menghadapi PRN yang bakal berlangsung dan kami sebenarnya tidak banyak menyentuh soal pemilihan pun ketika itu.

“Saya lebih bimbang mengenai pilihan raya jadi bagi saya matlamat utama lebih kepada menyatukan semua dan memastikan kita bergerak ke hadapan bersama-sama… ini bukan pemilihan parti pertama saya, kita pernah melalui waktu-waktu mencabar.

“Apa yang sebenarnya kita mahu bina ialah hubungan bukan perpecahan dan malangnya pemilihan parti kadang-kadang jika kita tidak berhati-hati boleh menyebabkannya berlaku,” katanya.

Ditanya isu nepotisme yang membayangi dirinya pada pemilihan kali ini, Nurul Izzah berkata beliau hanya ingin mengambil bahagian menyumbang kepada parti dan masyarakat serta terpulang kepada perwakilan untuk memilihnya atau tidak.

Beliau turut mengakui pernah berbeza pendapat dengan bapanya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun bagi dirinya paling penting adalah meneruskan kerjanya dalam menghubungkan parti dengan matlamat masyarakat yang lebih besar.

“Tidak ramai yang ingat, ‘team’ (pasukan) beliau juga ada beberapa kali ‘menyerang’ saya dalam beberapa pemilihan parti yang lalu dan saya dipanggil ‘rebel’ (memberontak) kerana berada dalam keadaan bertentangan dengan beliau.

“Namun ia bukan sesuatu yang bersifat peribadi kerana saya percaya pemimpin perlu dipandu oleh misi dan nilai perjuangan dan kita berada di sini untuk berkhidmat kepada rakyat jadi, insya-Allah hingga ke akhirnya, kita hanya mampu lakukan bahagian kita,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment