Tidak boleh leka hadapi ‘perang lebih besar’

KUALA LUMPUR 11 Mei – UMNO mesti melangkah ke ‘medan perang’ pilihan raya dengan naratif yang lebih segar, komunikasi yang lebih strategik dan gerak kerja yang lebih tajam, tuntas serta berani, kata Presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, UMNO tidak boleh leka walaupun sedang melalui tanda kebangkitan dengan kemenangan hatrik melalui pilihan raya kecil (PRK) di Nenggiri, Kelantan; Mahkota, Johor dan terkini Ayer Kuning, Perak.

Ahmad Zahid berkata UMNO perlu lebih bersedia berdepan dengan medan peperangan jauh lebih besar selepas ini termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, sebelum berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“PRN Sabah bakal membuka gelanggangnya, disusuli PRN Melaka, PRN Johor, dan akhirnya, perang besar yang bakal menentukan nasib dan masa depan negara, PRU-16,” katanya pada Majlis Sambutan Hari UMNO ke-79 dan Konvokesyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO (SPU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Hadir sama antaranya Timbalan Presiden UMNO,  Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO,  Wan Rosdy Wan Ismail dan Johari Abdul Ghani serta Setiausaha Agung, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, berkata dalam mendepani peperangan besar itu, beliau tidak mahu pemimpin dan ahli akar umbi bersengketa atau terbuai dalam jerat persepsi yang melemahkan parti.

“Janganlah ada di antara kita yang bersengketa, apatah lagi terbuai dalam jerat persepsi dan sentimen yang hanyamelemahkan parti. Mungkin sudut pandang kita berbeza, tetapi bergeraklah senada, kerana di situlah kunci untuk mengembalikan sokongan rakyat semula,” katanya.

Kepada perwakilan yang hadir pada majlis itu, Ahmad Zahid mengajak mereka pulang ke Bahagian untuk mengambil pendekatan baharu dan menginsafi perubahan arus perjuangan serta pemikiran rakyat.

Katanya, UMNO tidak boleh terus selesa dengan naratif semalam untuk menjawab cabaran hari ini sebaliknya bangkit sebagai parti masa hadapan – menjadi gerakan politik yang mengamalkan tiga wasilah iaitu politik solusi, politik legasi dan politik moderasi.

“Rakyat hari ini mahu mendengar resolusi yang praktikal, mahu melihat UMNO berbicara tentang isu sebenar hidup mereka, rakyat kini lebih selesa mendengar solusi yang menyentuh kehidupan mereka daripada terus dihujani retorik politik yang semakin memualkan di telinga mereka.

UMNO tidak boleh diwariskan hanya atas nama, tetapi sebagai nilai dan kepimpinan. Kita mesti melahirkan pewaris berkualiti — generasi muda, wanita, profesional — yang berani, berwibawa, dan berfikir kritikal.

UMNO tidak boleh terjebak dalam perlumbaan siapa lebih radikal; sebaliknya, UMNO mesti kekal sebagai parti pertengahan yang matang, waras, dan menyatukan. Inilah politik pertimbangan, kestabilan, dan harapan yang mesti kita semat dalam kita memimpin negara bangsa”, katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment