PUTRAJAYA 11 Mei – Tiada sebarang laporan berkenaan penyakit antraks di negara ini sejak Malaysia bebas daripada penyakit itu dengan kes terakhir yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada 1976.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) bagaimanapun memandang serius wabak penyakit itu yang menyebabkan satu kematian manusia yang disahkan akibat jangkitan antraks pada 1 Mei lalu di Thailand.
Sebelum ini, Jabatan Kawalan Penyakit (DDC), Thailand memaklumkan kes tersebut dikaitkan dengan penyembelihan lembu dan pengambilan daging mentah di Daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan di timur laut Thailand yang bersempadan dengan Laos.
DVS dalam kenyataannya berkata, DVS ketika ini kekal waspada dan memohon jaminan daripada Thailand bahawa tiada haiwan dan produk haiwan yang disyaki dari kawasan berisiko tinggi antraks dieksport ke Malaysia.
Penyakit antraks disebabkan bakteria Bacillus anthracis dan merupakan penyakit zoonotik iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui kontak langsung dengan spora yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus anthracis.
Ia boleh membawa maut
“Antraks boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada haiwan ternakan dan antara tanda klinikal penyakit ini pada ternakan ialah kematian mengejut serta demam yang tinggi,” menurut kenyataan itu.
Justeru, penternak diminta melaporkan segera kepada DVS sekiranya mengesan sebarang tanda tersebut.
“Thailand turut dimohon memberikan status semasa, langkah-langkah yang diambil untuk mengawal pergerakan haiwan dan produk haiwan di negara itu serta pelan kontingensi mengenai penyakit antraks.
“Ini berikutan Malaysia mengimport ternakan hidup iaitu lembu dan kerbau dari Thailand, dan semua ternakan yang memasuki negara ini perlu melalui proses pemeriksaan veterinar yang ketat sebelum dibenarkan masuk,” kata kenyataan itu.
Sebagai langkah berjaga-jaga, DVS terus menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan demi memastikan negara sentiasa bebas daripada penyakit tersebut.
DVS juga ingin menasihatkan penternak agar meningkatkan tahap biosekuriti ladang terutamanya menjelang hari raya korban yang akan datang.
Setiap ternakan baharu yang dibawa masuk ke ladang perlu dipastikan tahap kesihatannya melalui pemeriksaan Pegawai Veterinar bertauliah dan permit pemindahan ternakan yang sah.
“Selain itu, penternak perlu berhati-hati dengan sebarang kemasukan ternakan yang tidak mempunyai permit pemindahan yang sah terutamanya ternakan yang dibawa masuk dari negara jiran,” kata DVS.
Nnn