PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson memberi amaran kepada rakyatnya untuk mematuhi arahan norma baharu yang dikeluarkan kerajaan atau berhadapan dengan perintah kawalan pergerakan.
Johnson tidak menolak kemungkinan itu bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang terus menunjukkan peningkatan kes dan kematian di mana jumlah kes lebih 455,000 kes dengan lebih 42,200 kematian.
“Apa yang kami tidak lakukan ketika ini adalah kembali kepada situasi Mac lalu dan saya enggan melakukannya. Saya tidak mahu kembali melaksanakan perintah kawalan seluruh negara yang mewajibkan semua kekal di rumah,” katanya.
Katanya, kerajaan mahu memastikan ekonomi terus bergerak manakala pelajar terus kekal belajar.
“Tetapi ini hanya boleh dilakukan dengan mematuhi segala garis panduan, mengawal penularan dan memastikan kita dalam keadaan hidup normal,” katanya dalam sidang media di Downing Street.
Sementara itu, Ketua Penasihat Kesihatan UK, Patrick Vallance memberitahu peningkatan kes Covid-19 memberi petunjuk ada sesuatu yang tidak kena dengan langkah kawalan yang dilaksanakan.