KUALA LUMPUR 11 Mei – UMNO yang menyambut ulang tahunnya yang ke-79 hari ini mengingatkan sekutu dan seteru politiknya supaya tidak meragui kepercayaan dan menjaga batas sempadan.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, berkata, sebagai parti yang mengamalkan politik kesederhanaan, UMNO menolak politik ekstremisme, retorik perkauman, dan perpecahan.
“Pesan saya buat kawan atau lawan, jangan meragui kepercayaan dan jagalah batas sempadan.
“Api kecil yang dijaga rapi, jika dikhianati, akan menjulang menjadi bara. Bila ia marak, panasnya tak tertahan, nyalanya tak terelak – bimbang ia membakar semua…tanpa memilih rupa dan badan,” katanya semasa berucap pada sambutan ulang tahun itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, dalam dunia yang sarat dengan perpecahan dan prasangka, ketika ada pihak yang bersemangat meniupkan api ekstremisme di segenap lapisan, UMNO mesti teguh sebagai nakhoda politik kesederhanaan
Ini kerana melaluinya UMNO akan kembali menjadi sandaran bukan hanya buat bangsa Melayu tetapi buat seluruh rakyat.
Zahid yang menyifatkan UMNO sebagai “jurutera perkongsian kuasa,” berkata, parti itu tidak pernah bersendirian di mana pada 1955, bersama MCA dan MIC melalui Perikatan, pada 1974 dengan pembentukan Barisan Nasional (BN).
“Dalam kita terus mempertahankan prinsip parti, kita memupuk kepercayaan dan saling hormat.
“Inilah DNA politik UMNO – politik kesederhanaan yang menolak ekstremisme, politik integrasi yang menolak retorik perkauman, politik kestabilan yang menolak perpecahan,” katanya.
Dalam pada itu, Zahid mengakui keputusan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan masih menjadi bahan sindiran dan perdebatan di samping ada yang mempertikai keikhlasan, menghasut rakyat dengan naratif bahawa UMNO kini tunduk kepada DAP.
“Hakikatnya, ini bukan persekongkolan eksklusif. Ini adalah keputusan kenegaraan. Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk oleh 18 parti politik meliputi Barisan Nasional, Pakatan Harapan, GPS, GRS, Warisan dan lain-lain. Ia adalah kerjasama lintas sempadan demi menjamin kestabilan.
Dan kepada mereka yang ghairah meniupkan sentimen agama dan perkauman, ingatlah — merekalah juga yang pernah bergandingan dengan DAP dalam Barisan Alternatif, juga Pakatan Rakyat, hampir sedekad lamanya.
“Mereka jugalah yang membentuk kerajaan bersama DAP demi menjatuhkan kita pada PRU 2018, malah sanggup melanggar prinsip dengan menggunakan logo PKR.
“Lebih ironi, ketika Umno bekerjasama dengan MCA dan MIC, kita juga pernah dikafirkan. Hari ini, mereka meniru model yang sama, tetapi berselindung di sebalik retorik agama. Inilah hipokrasi politik yang sebahagian daripada kita mula termakan,” katanya lagi.
Zahid juga mengakui masih wujud kalangan dalam UMNO yang “hatinya diselimuti keraguan”, yang masih terpengaruh dengan bisikan dan sentimen dan menyeru semua ahli dan pemimpin UMNO menghentikan benih keraguan sebaliknya bangkit dan kuatkan keyakinan.
“Yakinlah, segala keputusan besar yang diambil bukan berdiri atas satu bahu semata. Ia lahir daripada musyawarah kolektif, daripada jiwa kepimpinan yang memikirkan untung nasib parti ini.
Setiap keputusan pasti mendatang cabaran, pasti ada yang tercalar, pasti ada yang tercela – tetapi percayalah, selagi hayat dikandung badan, keutamaan parti tidak akan kami robekkan, maruah perjuangan tidak akan kami khianati selagi kepercayaan kalian semua berikan,” katanya.
Nnnn