2.75 juta pilih pemerintah Singapura

SINGAPURA 3 Mei – Lebih 2.75 juta pengundi akan menentukan sama ada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah akan sekali lagi memperoleh majoriti besar, atau jika parti pembangkang berjaya mencatat kejayaan lebih besar tahun ini.

Sebanyak 11 parti politik dan dua calon Bebas bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU2025) Singapura akan mengetahui nasib mereka pada malam ini, selepas sembilan hari kempen.

Pada PRU2020, PAP memenangi 83 daripada 93 kerusi dengan memperoleh 61.2 peratus undi keseluruhan, berbanding PRU2015 yang menyaksikan parti itu meraih 83 daripada 89 kerusi dengan 69.9 peratus undi.

PAP yang kini dipimpin Perdana Menteri Lawrence Wong sebagai Setiausaha Agung memasuki hari pengundian dengan lima kerusi dimenangi tanpa bertanding di kawasan Marine Parade-Braddell Heights, berbaki 92 kerusi lagi untuk direbut.

Sementara itu, calon, penyokong dan orang ramai dibenarkan berkumpul di lima tapak yang diluluskan pada malam ini bagi menantikan keputusan Pilihan Raya Umum Singapura (PRU2025).

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, polis memaklumkan,  permit telah dikeluarkan untuk tapak perhimpunan yang dibuka mulai penutupan pusat pengundian pukul 8 malam sehingga 30 minit selepas keputusan akhir diumumkan.

PAP, parti yang memerintah diberikan permit untuk tiga tapak iaitu Stadium Bedok, Stadium Bukit Gombak dan Stadium Yio Chu Kang.

Parti Demokratik Singapura (SDP) pula akan mengadakan perhimpunan di Stadium MOE (Evans), manakala Parti Pekerja (WP) akan berkumpul di Stadium Serangoon.

Sebanyak 13 tapak telah ditetapkan sebagai pusat perhimpunan pada malam pilihan raya, dan parti-parti politik perlu memohon permit bagi menggunakannya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment