211 wartawan terbunuh di Gaza

ANKARA – Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) di Wilayah Palestin yang Diduduki mengesahkan, 211 wartawan termasuk 28 wartawan wanita telah terkorban di Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pula melaporkan, sekurang-kurangnya 47 wartawan maut semasa bertugas.

Kenyataan sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, pada Jumaat  juga memetik laporan pihak berkuasa Palestin bahawa 49 wartawan kini ditahan di pusat tahanan Israel setakat Selasa.

Ves akhbar kini bukan lagi pelindung, tetapi menjadi sasaran,” kata seorang wartawan kepada OHCHR.

Beliau turut menegaskan bahawa terdapat “petunjuk kukuh”, kempen ketenteraan Israel sengaja menyasarkan wartawan – satu tindakan yang, jika disahkan, boleh dianggap sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.

Beberapa wartawan yang ditahan oleh tentera Israel melaporkan kepada OHCHR bahawa mereka telah dipukul, dihina serta menjadi mangsa keganasan seksual dan berasaskan jantina semasa soal siasat berkaitan kerja kewartawanan – satu corak penderaan yang menurut PBB “berkait dengan usaha menakut-nakutkan dan menjejaskan kredibiliti media Palestin.”

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut mengecam keengganan Israel membenarkan wartawan asing masuk ke Gaza sejak perang bermula, kecuali lawatan terhad yang dikawal tentera.

“Keadaan ini menyebabkan wartawan Palestin terpaksa melaporkan situasi di Gaza dalam keadaan mereka sendiri turut menjadi mangsa pengeboman dan keganasan.

“Kehidupan dan tugas mereka sentiasa dalam ancaman,” kata PBB.

“Mereka terpaksa menyeimbangkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga sendiri dengan tanggungjawab untuk mendokumentasikan jenayah terhadap warga mereka.”

Di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, wartawan terus berdepan gangguan, penahanan dan keganasan.

PBB telah mengesahkan banyak kes penahanan sewenang-wenangnya, terutamanya di kem pelarian Jenin dan kawasan panas lain.

PBB menegaskan, corak keganasan dan penindasan ini bukan sahaja melanggar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa, tetapi turut menghalang akauntabiliti terhadap pelanggaran berterusan di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

OHCHR menggesa supaya pembunuhan, penahanan dan gangguan terhadap wartawan dihentikan serta-merta manakala pelaku jenayah mesti dibawa ke muka pengadilan, termasuk oleh negara pihak ketiga.

Menurut OHCHR, dalam waktu konflik, media memainkan peranan penting untuk mendedahkan pencabulan dan memastikan keadilan.

Justeru usaha untuk menyekat mereka adalah amat membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan oleh masyarakat antarabangsa.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment