NIBONG TEBAL 24 Mei – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan memaklumkan kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Katanya, Setiausaha DUN, Azizal Ahmad akan memaklumkan perkara berkenaan dan kerajaan negeri menyerahkan kepada SPR bagi tindakan selanjutnya.
Kekosongan kerusi berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, kira-kira pukul 1.38 tengah hari tadi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.
“Pihak Speaker DUN telah dimaklumkan berhubung perkara ini (kematian dan kekosongan DUN Sungai Bakap) dan seterusnya Setiausaha DUN akan memaklumkannya kepada SPR,” katanya selepas pengebumian Nor Zamri di Tanah Perkuburan Sungai Acheh, di sini hari ini.
Chow yang mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Nor Zamri dan berharap pihak keluarga bersabar dengan kehilangannya.
“Kita baru kenal selepas Pilihan Raya Negeri (PRN Pulau Pinang) Ogos lalu dan sempat bersidang sekali sahaja. Namun kita menerima hakikat (terhadap kematian ini),” katanya.
Terdahulu, Chow memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di rumahnya dan menyantuni ahli keluarga Nor Zamri sebelum jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Acheh di sini kira-kira pukul 6.30 petang ini.
Allahyarham Nor Zamri, 56, meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital itu sejak awal bulan ini.
Allahyarham meninggalkan isteri, Musalmah Yusop dan enam anak.
Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal bertanding pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Nnnn
