PRK : Bukti rakyat tolak politik perkauman

KUALA LUMPUR 30:April –  Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April lalu adalah bukti rakyat menolak politik perkauman, kebencian dan mainan.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kemenangan itu juga membuktikan bahawa rakyat turut menolak mainan persepsi seolah-olah Islam dan Melayu terancam.

Katanya, UMNO bersyukur dengan keputusan PRK Ayer Kuning yang menunjukkan peningkatan sokongan pengundi Melayu, pelbagai kaum dan kalangan anak muda.

“UMNO menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kash kepada seluruh pengundi DUN Ayer Kuning atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga memungkinkan kemenangan dengan majoriti besar di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) kecuali satu sahaja.

UMNO juga mengucapkan terima kasih kepada jentera parti-parti komponen Barisan Nasional dan Friends of BN, juga rakan-rakan daripada Pakatan Harapan yang bekerja keras memenangkan calon Barisan Nasional,” katanya menerusi kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini malam ini.

Pada mesyuarat itu, Asyraf Wajdi berkata UMNO turut menyatakan sokongan terhadap penjenamaan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, penjenamaan semula itu akan dimasyhurkan secara rasmi pada 12 Mei ini oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang bertanggungjawab kepada MARA, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini adalah sebahagian daripada pengiktirafan terhadap segala jasa dan sumbangan besar bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata UMNO akan mengadakan Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO kali pertama sempena sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-79, esok di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre (WTC).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment