BANGI 30 April – – Setakat 20 April lalu, sebanyak 43,455 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun berjumlah RM10.42 juta dikeluarkan sejak Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024.
Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Zulhizzam Abdullah memaklumkan, jenis kesalahan tertinggi adalah di bawah Seksyen 16(2), iaitu larangan merokok di kawasan atau tempat larangan merokok.
Ia membabitkan 41,421 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM10.35 juta.
Selain itu katanya, sebanyak 1,382 notis kesalahan dikeluarkan di bawah Seksyen 17(1), iaitu larangan merokok oleh orang belum dewasa (OBD),dengan nilai kompaun RM69,100.
Kesalahan lain, termasuk larangan pengiklanan produk merokok, larangan promosi atau tajaan produk merokok, larangan penjualan produk merokok secara dalam talian dan berkaitan pembungkusan produk merokok yang menyerupai permainan atau makanan, dengan 74 kertas siasatan dibuka.
“KKM ingin mengingatkan kepada pihak yang terkait dengan akta ini supaya sentiasa mematuhi semua peruntukan yang ditetapkan,” katanya selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan Akta 852 di sekitar Reko Sentral di sini, malam ini.
Mengenai operasi yang dijalankan bersama Jabatan Kesihatan Selangor itu, Dr Zulhizzam berkata, ia memfokuskan kepada Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024 berkaitan larangan pameran produk merokok.
Katanya, sehingga 20 April lalu, sebanyak 338 notis peringatan dikeluarkan kepada premis jualan yang belum melaksanakan pematuhan terhadap Peraturan 6 di seluruh negara.
Bagi operasi kali ini, KKM mengeluarkan 111 notis peringatan kepada premis jualan yang masih belum melaksanakan pematuhan terhadap peraturan itu.
“Semua sedia maklum yang KKM memutuskan untuk melanjutkan lagi pendidikan mengenai Peraturan 6 sehingga 30 September ini. Semua ini bukti KKM komited terhadap larangan pameran produk merokok yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Oktober ini,” katanya.