Dua pemimpin Melayu DAP dakwa difitnah

SEPANG 30 April –  Dua wakil rakyat DAP akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Setul, Pahang, Jasri Jamaludin yang didakwa memfitnah melalui satu tulisan di Facebooknya semalam.

Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan yang juga Ahli Parlimen Bangi dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP mengeluarkan kenyataan bersama berhubung tindakan itu.

“Semalam, ADUN Kuala Sentul, Pahang, Dato’ Jasri Jamaludin daripada Perikatan Nasional (PN) telah memuatnaik status yang mengandungi kata-kata yang memfitnah kami di laman Facebook beliau.

ADUN tersebut antara lain, mengatakan bahawa kami sanggup menjadi “sukarelawan untuk jadi pembelot bangsa”, serta kata-kata lain yang memfitnah kami,” kata kenyataan bersama melalui Facebook DAP.

Dua Ahli Parlimen itu memandang serius kenyataan tersebut, kerana sebelum ini mereka sentiasa difitnah oleh pengikut PN di alam maya.

Semakan di Facebook Jasri, antara lain kenyataan yang dimuatnaik itu bertajuk “DAP Tidak Pernah Ikhlas Terhadap Asas Persekutuan TANAH MELAYU”.

Tulisan itu mendakwa, Syahredzan dan Young Syefura dipilih dan digilap oleh DAP untuk dijadikan ‘wajah Melayu’ dalam parti itu dan dipaparkan kononnya sebagai pemimpin progresif dan mewakili semua kaum.

“Tentang dua anak muda ini — kita tidak marah, tidak juga berdendam. Cuma kita kesian. Mereka sanggup jadi sukarelawan untuk jadi pembelot bangsa, atas nama ‘kebebasan bersuara’ dan ‘hak mutlak’,” menurut tulisan di Facebook itu.

Dalam pada itu, dua Ahli Parlimen Melayu DAP itu yang kecewa dengan kata-kata melalui hantaran itu menasihatkan semua wakil rakyat dan pemimpin PN untuk berhati-hati dalam tutur kata mereka.

“Jangan lupa bahawa sebelum ini, pemimpin-pemimpin PN telah diarahkan membayar pampasan disebabkan Mahkamah mendapati mereka telah memfitnah,” kata dua Ahli Parlimen itu.

Januari lalu, Ahli Parlimen Kepala Batas (PN-Pas) Siti Mastura Muhammad menyelesaikan pembayaran RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada tiga pemimpin DAP, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membayar ganti rugi keseluruhan dan kos berjumlah RM825,000 termasuk faedah kepada ketiga-tiga plaintif.

Tiga pemimpin DAP itu menyaman Siti Mastura berhubung ucapannya dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Kemaman pada 4 November 2023, yang mana saman tersebut difailkan secara berasingan oleh Pengerusi DAP, Guan Eng, bapanya, Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selaku plaintif.

Ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta mendiang Kuan Yew.

Bagaimanapun, dalam pembelaannya yang difailkan pada Januari lalu, Siti Mastura mempertahankan kenyataannya bahawa ia dibuat berdasarkan buku panduan ‘BN Comms’ yang membuat penyelidikan mendalam, yang didakwa diterbitkan BN untuk pemimpin partinya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment