Enam ‘anak YKM’ cemerlang SPM dirai

KUALA LUMPUR 30 April – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini turut menyaksikan enam daripada 36 anak-anak Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) mencatat keputusan 6A ke atas.

Mendahukui senarai adalah Isma Daniel Khairul Syakirin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, Klang yang memperoleh 10A.

Ini disusuli Alia Batrisya Abu Hassan MRSM Balik Pulau (9A); Irene Hung Xin Yi SMK Bandar Sibu (9A) ; Mohamad Affiq Danish Mohd Nasir MRSM Kuantan (7A); Wan Nur Aisyah Insyirah Wan Mohd Norhisham SMJK Tanah Puteh (7A) dan Nur Najma Najihah Sarkawi SMKA Tun Ahmad Zaidi (6A).

Susulan kejayaan itu, anak-anak cemerlang YKM itu, menerima hadiah kecemerlangan yang akan disalurkan terus ke akaun bank penerima masing-masing atau melalui Ziarah Kasih YKM sempena Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2024.

Semalam, 29 April, Pengerusi YKM, Ismail Sabri Yaakob turut mengunjungi rumah Noor Syahida Mohd Suyud iaitu ibu kepada Isma Daniel di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang..

Isma Daniel, anak sulung bersama-sama lima orang adiknya disara sepenuhnya oleh Noor Syahida selepas suaminya, Khairul Syakirin Abdul Wahab meninggal dunia pada 10 Mac 2022 akibat pandemik Covid-19.

Noor Syahida yang berpendapatan sebanyak RM1,500 sebulan menjadikan bantuan bulanan YKM sebagai sokongan tambahan untuk memastikan anak-anaknya terus berjaya dalam bidang pendidikan.

Ismail Sabri yang menziarahi keluarga tersebut berkata, pencapaian Isma Daniel dan lima lagi anak-anak YKM dalam SPM 2024 adalah satu pencapaian yang amat membanggakan.

“Alhamdulillah, kejayaan mereka ini merupakan bukti bahawa bantuan yang disalurkan oleh YKM adalah selaras dengan visi dan misi YKM iaitu memastikan pendidikan anak-anak ini terus terbela.

“Sering saya tegaskan bahawa pendidikan sahaja yang mampu mengubah nasib diri sendiri dan keluarga.

“Harapan saya agar kejayaan yang telah diperolehi ini bakal menjadi batu loncatan kepada semua anak YKM untuk terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi kelak,” katanya.

Pada majlis tersebut, Ismail Sabri menyampaikan Hadiah Kecemerlangan SPM 2024 kepada Isma Daniel termasuk barang keperluan asas, selain peralatan elektrik seperti periuk nasi dan periuk elektrik serba guna.

Terdahulu, Pengerusi YKM itu telah berkunjung ke rumah Rohana Nawari di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi bagi menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada anak beliau, Alia Batrisyia Abu Hassan yang memperoleh 9A.

Suami Rohana, Abu Hassan Ramly meninggal dunia pada 28 Jun 2021 akibat Covid-19 dan beliau yang bekerja sebagai pengasuh menanggung dua anaknya Alia dan Nur Awatif, 20 yang menuntut di Kolej MCS.

YKM ditubuhkan pada 2021 bagi menjaga kebajikan anak-anak yang kehilangan ibu, bapa, ibu bapa atau penjaga akibat Pandemik Covid-19 seawal usia satu hari sehingga 18 tahun atau tamat ijazah sarjana pertama.

Yayasan itu juga bertanggungjawab merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti khusus dalam aspek kebajikan dan pendidikan yang seterusnya akan memberi manfaat kepada penerima-penerima di bawah tanggungan YKM.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment