JOHOR BAHRU 30 April – Keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor adalah stabil.
Justeru Amanah Johor meminta orang ramai menghentikan penyebaran spekulasi dan maklumat tidak sahih berhubung keadaan kesihatan wakil rakyat itu.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, berkata penyebaran spekulasi dan maklumat tidak sahih itu menimbulkan panik dan pelbagai persepsi mengelirukan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, pelbagai teori dan tanggapan liar tersebar hanya menambah ketegangan terhadap situasi sedang dihadapi.
“Kami berharap semua pihak menghentikan sebarang persepsi dan spekulasi.
Jangan ada yang mendahului maklumat rasmi serta menyebarkan kenyataan tidak sah.
“Keadaan kesihatan Yang Berhormat (YB) Suhaizan stabil dan parti akan terus memaklumkan perkembangan terkini kepada umum dari semasa ke semasa.
Jangan ada yang mendahului maklumat rasmi serta menyebarkan kenyataan tidak sah,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya hari ini.
Amanah Johor turut menyeru rakyat Malaysia mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan Suhaizan.
Terdahulu, Suhaizan dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta, di sini, malam tadi selepas paras oksigen menurun akibat jangkitan kuman.
Pada 9 September 2023, Suhaizan menang di kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai.
Suhaizan meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan 29,642 undi, manakala Samsudin Mohamad Fauzi, calon Bebas meraih 528 undi.
Suhaizan menggantikan Datuk Seri Salahuddin Ayub, 61, penyandang kerusi Parlimen Pulai yang juga Timbalan Presiden Amanah, yang meninggal dunia pada 23 Julai 2023.
(Foto FB Aminolhuda Hassan)
Nnnn