99 % di dunia hirup udara bahan pencemar

GENEVA : Kira-kira 99 peratus penduduk bumi menghirup udara yang mengandungi terlalu banyak bahan pencemar, demikian menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

WHO turut menyatakan kualiti udara yang buruk menjadi penyebab berjuta-juta kematian setiap tahun.

Kajian WHO menyediakan data kualiti udara daripada lebih 6,000 bandar dan pekan di 117 negara di dunia.

Data baharu itu menunjukkan bahawa setiap sudut dunia sedang berhadapan dengan pencemaran udara, walaupun masalahnya lebih teruk di negara miskin.

“Hampir keseluruhan penduduk global atau 99 peratus menghirup udara yang melebihi had kualiti udara WHO dan ia mengancam kesihatan,” kata WHO.

Dalam laporannya empat tahun lalu, WHO sudah mendapati lebih 90 peratus populasi global terjejas.

Asas bukti untuk kemudaratan yang disebabkan oleh pencemaran udara berkembang dengan pesat dan menunjukkan kepada kemudaratan ketara disebabkan oleh paras yang rendah berikutan banyak bahan pencemar udara.

Walaupun data PBB tahun lalu menunjukkan bahawa perintah berkurung disebabkan pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan menyebabkan peningkatan jangka pendek dalam kualiti udara, pencemaran udara tetap kekal sebagai masalah kian memuncak.

Ketua Jabatan Kesihatan Awam dan Alam Sekitar WHO, Maria Neira dalam satu kenyataan berkata, selepas selamat daripada bergelut dengan pandemik,  masih ada tujuh juta kematian yang boleh dicegah dan kehilangan yang tidak terhitung sejak bertahun-tahun disebabkan pencemaran udara.

Related posts

Leave a Comment