KUALA LUMPUR 16 April – Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara. bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa,” titah baginda melalui satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim.
Justeru baginda mengingatkan pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Semalam, akhbar Sin Chew Daily dikritik selepas menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapannya mengundang kemarahan orang ramai yang menyifatkannya satu bentuk kecuaian dan tindakan tidak sensitif.
Dalam ilustrasi berkenaan, Jalur Gemilang dipaparkan bersama bendera China sempena liputan Lawatan Negara ke Malaysia oleh Presiden China, Xi Jinping.
Susulan itu, pihak Sin Chew Daily mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kegagalan memaparkan bulan sabit dalam ilustrasi terbabit didakwa berpunca daripada kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Nnn