PERSIDANGAN Dewan Rakyat bermula hari ini, 13 Julai 2020 merupakan persidangan yang menjadi tumpuan selepas beberapa bulan tertangguh akibat penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Ia mencuri tumpuan apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin akan menduduki blok kerajaan selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 29 Februari lepas.
Beberapa perkara yang menjadi perhatian pada persidangan Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat kali ini adalah:
1. Ahli Parlimen dijangka memulakan persidangan dengan membahaskan ucapan Titah Diraja yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Mesyuarat Pertama Sidang Dewan Rakyat, 18 Mei lepas.
2. Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan membentangkan usul menamatkan khidmat Speaker, Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.
3. Blok Pakatan Harapan dijangka cuba mengemukakan kembali membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri yang juga Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.
4. Pas pula akan mengemukakan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Muhyiddin, untuk dibentang dan dibahaskan.
5. Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah Sementara) akan dibentangkan sebagai komitmen bagi mengurangkan impak perundangan Covid-19, kata Perdana Menteri.
Mengikut portal rasmi Parlimen Malaysia, persidangan ini akan dikenali sebagai Mesyuarat Kedua bagi Takwim Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas 2020, dan akan berlangsung selama hari.
Selepas itu, Mesyuarat Ketiga akan berlangsung selama 27 hari bermula 2 November hingga 15 Disember 2020.