Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi

TANJONG 16 April – Lebuhraya Bandar Cassia di Bandar Cassia (Batu Kawan) Seberang Perai Selatan akan dinamakan Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi mengekalkan legasi Perdana Menteri Kelima yang berasal dari Pulau Pinang.

Pada masa sama, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang juga bersetuju supaya bendera negeri dikibar separuh tiang Jumaat ini membabitkan semua premis kerajaan dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri.

Pemilik premis bukan kerajaan juga diseru untuk berbuat demikian sebagai tanda penghormatan kepada Abdullah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata perkara itu amat siginifikan untuk menghargai jasa dan bakti Allahyarham Abdullah yang membawa impak pembangunan kepada negeri berkenaan sepanjang perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009.

Memegang gelaran sebagai bandar masa depan Pulau Pinang, Allahyarham menamakan Bandar Cassia pada 24 Ogos 2004 dan memperoleh kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui Pelan Induk Bandar Cassia pada 26 Oktober 2004.

Penggunaan nama Bandar Cassia sebagai Bandar Baharu di Batu Kawan kemudiannya telah diluluskan oleh MMK pada 10 Ogos 2016.

“Justeru, kerajaan negeri ingin terus mengekalkan legasi Allahyarham Tun Abdullah dengan menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya , pemergian Abdullah satu kehilangan besar kepada negara terutamanya Pulau Pinang.

“Semoga semua jasa dan bakti yang telah dicurahkan beliau dalam membangunkan negara serta negeri ini akan sentiasa tersemat dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia dan juga Pulau Pinang,” katanya.

Chow berkata Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah ‘hadiah’ terbesar Abdullah kepada penduduk Pulau Mutiara apabila beliau mengumumkan projek itu dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9) di Parlimen pada 2003.

Beliau berkata, impak jambatan kedua itu merancakkan pertumbuhan ekonomi antara Batu Maung (bahagian pulau) dan pembangunan Bandar Cassia di Batu Kawan sebagai zon perindustrian baharu.

Menurut Chow, selain Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Bandar Cassia, Pulau Pinang turut menerima banyak manfaat di bawah pentadbiran Abdullah antaranya pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang pertama dengan peruntukan RM1 bilion.

Selain itu, katanya manfaat lain di bawah pentadbiran Perdana Menteri kelima itu adalah pembangunan Penang Sentral dengan peruntukan RM2.7 bilion, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

Related posts

Leave a Comment