TAPAH 12 April – Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mempertahankan kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya, kelmarin, berhubung isu beliau dilabel dan ditanda sebagai individu bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO).
Justeru Naib Presiden Pas itu enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut sebaliknya berpegang kepada kenyataan berkenaan.
“(Saya) beri makluman yang jelas dalam tulisan saya… kita tengoklah apa yang akan berlaku dalam masa beberapa hari ini.
Boleh rujuk kembali apa yang saya tulis dalam artikel agak panjang itu. Buat masa ini, kita pegang itu dululah,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Mohd Nasir Abd Razak, berkata Ahmad Samsuri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau hantaran permohonan maaf berhubung isu terbabit sebagaimana ditularkan.
“Merujuk kepada hantaran media sosial ini, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau ‘posting’ seperti yang telah disiarkan.
Kapsyen digunakan laman ini ternyata satu fitnah yang jahat, dan fitnah sebegini boleh menjejaskan imej beliau.
“Sehubungan itu, kami meminta agar siaran berkenaan ditarik balik segera,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook rasmi Ahmad Samsuri, hari ini.
Terdahulu, tular dakwaan dalam laman sosial bahawa Menteri Besar Terengganu itu menarik balik kenyataannya berhubung isu TCO, sekali gus memohon maaf kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail; dan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.
Nnnn
