TTAPAH12 April – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
BN yang akan mempertahankan kerusi itu diwakili Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, yang akan dicabar oleh Pengerusi PN Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha PSM, Bawani KS, 40.
PRK pada 26 April itu diadakan susulan kematian penyandang dati BN Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Senarai calon bertanding itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, pada pukul 10.23 pagi selepas proses penamaan di Dewan Merdeka, di sini, ditutup pada pukul 10 pagi.
Terdahulu sejurus pusat penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi, Abd Muhaimin menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.01 pagi, diikuti Mohamad Yusri pada jam 9.06 pagi.
Bawani yang menarik perhatian ramai apabila hadir ke pusat penamaan bersama penyokong dengan menaiki traktor sebagai gimik pula menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.15 pagi.
Pemimpin dan penyokong parti dilihat mula berkumpul seawal pukul 7 pagi bagi memberi sokongan moral kepada bakal calon masing-masing.
Mohamad Yusri yang lengkap berpakaian baju Melayu dan bersamping biru hadir ke Dewan Merdeka dengan diiringi oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Perak, Saarani Mohamad; serta Naib Presiden UMNO, Johari Abdul Ghani.
Turut sama pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan, antaranya Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.
Abd Muhaimin pula hadir bersama rombongan penyokong PN termasuk, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.
Nnn