Sijil halal dua hotel 5 bintang batal

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membatalkan serta merta sijil halal dua hotel bertaraf lima bintang di negeri ini susulan penganjuran satu program ‘ala parti arak’ di premis itu, baru-baru ini.

Tindakan tegas itu diambil selepas serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sejurus menerima aduan daripada orang awam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata hasil serbuan itu, pihaknya mendapati penganjuran program berkenaan menggunakan peralatan sama dengan dapur yang mendapat pensijilan halal.

“Ketika pemeriksaan dibuat hasil aduan awam, pihak kami mendapati memang ada parti sedang berlangsung dan bekas arak ini dicampur penggunaannya dengan peralatan dapur yang sudah dipersijilkan halal.

Kesalahan itu juga diakui oleh pihak hotel dan kita mengambil tindakan tegas menarik semula serta merta sijil halal yang dikeluarkan kira-kira lima tahun lalu,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu berkata kedua-dua hotel terkemuka itu diberikan tempoh selama tiga bulan untuk membuat permohonan semula sijil halal.

Katanya, dalam tempoh berkenaan, sekiranya pihak JAIM berpuas hati, sijil halal akan dikembalikan dengan syarat mereka menepati semua syarat ditetapkan serta tidak mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.

Rahmad berkata ketegasan kerajaan negeri itu diharap dapat memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berkunjung ke premis di Melaka yang sudah memperoleh sijil halal.

“Justeru, pada peringkat kerajaan negeri, kita tidak akan menganjurkan apa-apa program di hotel yang tiada persijilan halal sehinggalah mereka peroleh semula sijil berkenaan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment