SUBANG JAYA 6 April – Sehingga tengah hari ini, polis menerima 642 laporan berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights termasuk yang mendakwa ada individu bermain mercun berhampiran kawasan insiden.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata berdasarkan laporan tersebut, pengadu mendakwa individu itu bermain mercun di kawasan terbabit pada malam sebelum kejadian letupan paip gas.
Bagaimanapun pihak polis tidak nampak kejadian pada waktu itu boleh membabitkan letupan pada pagi berkenaan dan kita masih menunggu siasatan penuh.
“Saya cuma maklum laporan yang polis terima (setakat ini). Jadi kita mengalu-alukan maklumat daripada orang awam. Yang ini maklumat yang mereka nampak (pengadu),” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PTPK) letupan paip gas di sini hari ini.
Selain itu, katanya lebih 100 percakapan dirakam oleh polis membabitkan pelbagai pihak termasuk 15 daripada pihak kontraktor, sub kontraktor dan pekerja.
“Sebanyak 118 percakapan saksi telah dirakam membabitkan pelbagai pihak, termasuk satu laporan polis yang menyatakan ada orang bermain mercun pada malam 31 Mac lalu,” katanya.
Sementara itu, hasil siasatan awal mendapati keadaan fizikal paip gas bawah tanah yang meletup Selasa lalu, tidak menunjukkan sebarang gangguan nyata.
Menurut Hussein, ia berdasarkan siasatan dijalankan dengan menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor.
“Didapati paip kumbahan ini dipasang pada kedalaman 2.1 meter dari aras jalan yang sedia ada di situ. Keterangan lanjut didapati kerja mengorek oleh kontraktor ini tidak melebihi tiga meter sepanjang jalan tersebut dengan lebar korekan adalah 1.5 meter.
Kerja-kerja korekan dan pemasangan ini dilakukan sepanjang lebih kurang 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi. Jalan yang merentasi laluan paip gas Petronas ini adalah jalan yang diluluskan.
“Kerja-kerja galian dilakukan dengan tiga ekskavator, satu bulldozer (jentera pengorek) dan sebuah backhoe ini sedang diteruskan lagi untuk membuka kawasan dan meninjau kedudukan paip Petronas yang dipercayai berada di kedalaman antara enam dan tujuh meter.
Pihak polis dapati paip gas ini berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan. Maksudnya jarak antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter. Keadaaan fizikal paip ini tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata,” katanya.
Mengenai sama ada kerja pengorekan oleh kontraktor di kawasan itu menjadi punca letupan saluran paip gas bawah tanah, beliau berkata, siasatan lanjut perlu dijalankan.
“Adakah kerja-kerja korekan oleh kontraktor ini ada mengganggu laluan paip belum dapat ditentukan buat masa ini sehingga keseluruhan pipeline di kawasan tersebut didedah dan disiasat lanjut,” katanya.
Nnnn