PUTRAJAYA 6 April – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seramai 38 daripada keseluruhan 146 mangsa yang terbabit dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya Selasa lalu masih menerima rawatan di hospital dan klinik.
Daripada jumlah itu, 18 mangsa dirawat di wad biasa hospital kerajaan manakala 20 mangsa lagi di kemudahan kesihatan swasta.
Menurut data harian yang dikeluarkan KKM hari ini, tiada mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada sebarang kematian dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini.
Terdapat 13 pesakit di Hospital Putrajaya, dua di Hospital Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Ampang.
KKM turut memaklumkan aktiviti Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Minda dan Psikososial (MHPSS) turut dijalankan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, selain di Hospital Putrajaya (HPj) dengan 88 individu menerima intervensi MHPSS.