PUTRAJAYA 18 Ogos – Menteri Dalam Negeri (KDN) Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan etnik Rohingya turut tergolong dalam 5,000 pelarian di negara ini yang akan dihantar pulang ke Myanmar.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan had masa ditentukan bagi pelaksanaan proses berkenaan.
“Saya sebut pelarian Myanmar yang ada 19 etnik dan Rohingya sebahagian daripadanya. Semua (etnik) ada di negara ini dan Rohingya termasuk dalam 19 etnik berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Jabatan Imigresen serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memaklumkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian negara itu yang berada di Malaysia, hasil rundingan diplomatik dan hubungan baik kedua-dua negara.
Ia adalah langkah awal bagi menangani isu berkenaan, selain memastikan isu ketenteraman awam di Malaysia terus terpelihara.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, KDN diarah mengemukakan data pelarian di negara ini yang dikumpulkan melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, laporan dan perkembangan terkini mengenai progres isu berkenaan sudah diserahkan ke Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.
Namun, katanya, angka dikenal pasti ketika ini hanya membabitkan individu dikategorikan sebagai pelarian di depot tahanan Jabatan Imigresen (Imigresen) di seluruh negara dengan status mereka akan disahkan selepas menjalani sesi temu duga.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan angka sebenar pelarian di negara ini jauh lebih besar berbanding yang sudah dikenal pasti, mengambil kira jumlah kumpulan itu yang berada di luar depot tahanan.
Katanya, pelarian di depot tahanan JIM akan menjalani sesi temu duga bagi mengenal pasti elemen imigresen dan polis, selain status mereka akan disahkan jawatankuasa dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN.
“Ini bagi mengenal pasti sama ada mereka benar-benar pelarian atau individu yang ada kes lain dan sebagainya mahupun warga asing melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Kita tak boleh selamanya bergantung sepenuhnya kepada data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya
