KUALA LUMPUR 18 Ogos – DAP mengalu-ngalukan peruntukan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen namun hendaklah diagihkan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, berkata prinsip kesamarataan perlu diterapkan kepada semua Ahli Parlimen kerana setiap wakil rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menangani keperluan rakyat di kawasan masing-masing.
Menteri Digital itu berkata, pendirian itu juga selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menyatakan keperluan supaya peruntukan diberikan secara adil kepada semua Ahli Parlimen.
Katanya, pembaharuan berhubung peruntukan kawasan juga perlu dijadikan sebahagian daripada kerangka undang-undang supaya ia dapat dilaksanakan secara berterusan dan tidak bergantung kepada kerajaan yang memerintah.
Ahli Parlimen Damansara itu berkata, salah satu daripada tanggungjawab wakil rakyat adalah untuk memastikan bahawa tugas mereka dilaksanakan dan ia merangkumi keperluan peruntukan.
“Saya sebagai Ahli Parlimen tahu apabila turun ke kawasan, ada banyak perkara yang perlu ditangani, termasuk yang memerlukan peruntukan. Saya rasa perkara ini sama bagi semua Ahli Parlimen,” katanya kepada media selepas pelancaran Boost SME, di sini hari ini.
Gobind berkata, perkara itu akan sekali lagi dibangkitkan dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sambil memaklumkan DAP sebelum ini sudah beberapa kali membawa keperluan berkenaan kepada perhatian Perdana Menteri.
“Saya berpendirian bahawa kita harus melaksanakan reformasi ini dengan segera. Namun, ia adalah keputusan Perdana Menteri. Saya akan bangkitkan perkara ini dengan beliau sekali lagi,” katanya.
Anwar ketika Ucapan Penggulungan Presiden sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh pada Ahad lalu mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen.
Peruntukan tambahan secara terus kepada rakyat bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara itu demi memastikan bantuan dan projek mendesak dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat.
Jelas beliau, pendekatan berkenaan diambil bagi membolehkan keperluan rakyat di peringkat akar umbi dipenuhi segera, terutamanya dalam aspek bantuan kebajikan, kemudahan asas, dan penyelesaian masalah setempat.
Nnnn
