Serangan udara bunuh 33 rakyat Palestin

GAZA CITY – Sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin termasuk 13 kanak-kanak terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam siri serangan udara Israel sejak awal pagi Ahad.

Serangan udara Israel menyasarkan kediaman penduduk, khemah perlindungan, serta kenderaan awam di Gaza City, Jabalia di utara, dan Khan Younis di selatan.

Menurut sumber perubatan, serangan ke atas beberapa kawasan termasuk sebuah rumah di Bani Suheila, timur Khan Younis, serta khemah yang menempatkan keluarga pelarian di Qizan Raswan meragut 17 nyawa, termasuk lapan kanak-kanak.

Pada masa yang sama, kereta kebal dan artileri Israel turut membedil kawasan timur Abasan al-Kabira, timur Khan Younis.

Di Gaza City, seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas jet pejuang Israel menyasarkan tiga kenderaan awam di kawasan Tuffah.

Sementara itu, di utara Gaza, dua kanak-kanak perempuan terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas rumah keluarga Maqbel di kawasan Jurn, Jabalia, dibom oleh pesawat tempur Israel.

Dalam satu lagi serangan di timur Gaza City, lima rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera apabila sebuah rumah di Jalan Mushtaha, kejiranan Shejaiya, menjadi sasaran.

Serangan berterusan turut menyaksikan dua kanak-kanak maut akibat tembakan kereta kebal Israel mengenai rumah mereka di timur Jabalia, manakala dua lagi  terbunuh dalam serangan ke atas khemah pelarian di timur kem Nuseirat, Gaza.

Di Deir al-Balah, Israel menyerang sebuah khemah berhampiran Hospital Al-Aqsa Martyrs, membunuh dua lagi rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain.

Sumber perubatan juga melaporkan seorang pemuda dan seorang kanak-kanak maut akibat kecederaan yang dialami susulan pengeboman di kem Khan Younis dan kawasan al-Mawasi, selatan Gaza.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment