Agong solat Aidilfitri di Masjid Wilayah

KUALA LUMPUR 31 Mac- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Ini kali pertama Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, pada 20 Julai tahun lalu.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada 8.15 pagi diiringi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Jemaah Menteri.

Solat sunat Aidilfitri berkenaan diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

Khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Berdamai dalam Dakapan Syawal’ dibacakan Luqman antaranya menyeru umat Islam memanfaatkan keberkatan Aidilfitri untuk memperbaiki hubungan persaudaraan sesama anggota masyarakat.

Aidilfitri juga peluang terbaik memperbaiki hubungan sesama keluarga dan umat Islam, selain perlu dijadikan medan untuk meneruskan nilai mulia dalam kehidupan seharian serta memudayakan sifat berlapang dada dan saling bermaafan.

Menurut Luqman, hakikat hari ini memperlihatkan perpecahan dalam kalangan umat Islam akibat perbezaan fahaman, politik, dan kepentingan peribadi.

“Sedarlah, perbalahan hanya melemahkan kita dan memberi peluang kepada musuh Islam untuk mengambil kesempatan.

“Syawal ini seharusnya menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh ukhuwah Islamiah dan mengerat hubungan mungkin sudah terputus. Dalam semangat Syawal, kita harus mencontohi akhlak Rasulullah SAW menangani perselisihan.

“Baginda sentiasa mengutamakan dialog, berlapang dada dan bersikap pemaaf dalam menyelesaikan konflik. Sikap ini bukan sahaja menjernihkan hubungan, tetapi menguatkan kesatuan ummah.

“Inilah asas masyarakat madani yang berdiri atas sikap hormat dan ihsan, dilatih melalui tarbiyah Ramadan. Justeru, marilah kita semua menjernihkan hati untuk saling memaafkan, saling berdamai dan menjaga antara satu sama lain,” katanya.

Related posts

Leave a Comment