‘Makan angin’ jika terus berpecah

KUALA LUMPUR 13 Mac – “Saya ingin memberi ingatan kepada semua pihak, jika kita terus berpecah dalam menghadapi BN, hasilnya kita akan ‘memakan angin’ beramai-ramai selepas PRU-15 nanti,” itu ingatan Mohamad Sabu.

Presiden Amanah itu membuat ingatan itu sebagai mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memberi  kemenangan majoriti dua pertiga kepada Barisan Nasional (BN) sementara pembangkang pula menang 16 kerusi.

Dalam kenyataannya, beliau berkata perpecahan dalam kalangan parti pembangkang menjadi faktor kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor semalam.

Katanya, kekalahan pembangkang seharusnya dijadikan pengajaran untuk kembali bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

“Seperti dijangka lebih awal, faktor utama adalah peratusan keluar mengundi yang begitu rendah, terutama sekali dalam kalangan penduduk bandar dalam kalangan masyarakat Tionghua. Faktor kedua pula, yang paling besar sekali adalah perpecahan pembangkang.

Mohamad berkata, keputusan PRN Johor dengan jelas menunjukkan jumlah undi diperoleh pembangkang melebihi 200,000 undi jika dibandingkan dengan BN.

Katanya, keputusan itu menunjukkan bahawa BN tidak menambah kekuatan mereka, sebaliknya mendapat manfaat daripada perpecahan pembangkang yang begitu ketara.

“Jumlah undi sebanyak 200,000 itu jika dibahagi kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) secara purata, pembangkang mendapat hampir 4,000 undi mengatasi BN.

“Bagaimanapun, Amanah yang bertanding di atas tiket Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan PRN Johor dengan hati terbuka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment