Bertindak tegas, adil, bukan salahkan orang lain
Hassan Mohd Noor
SEPANG 8 Mac – Pas menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengenai kepentingan dan tanggungjawab semua pihak untuk memelihara keharmonian dan hubungan baik antara kaum-kaum di negara ini.
Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan berkata, Pas mengalu-alukan pendirian kerajaan berhubung kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang mesti dimartabatkan, selain keperluan semua pihak “tidak melanggar jalur, peraturan dan hukum” berkait agama dan kaum.
“Penegasan ini adalah selari dengan dasar Pas sejak sekian lama berhubung kepentingan dan keutamaan sikap saling menghormati, memahami dan menghargai sebagai identiti teras masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Sikap tersebut bukanlah sekadar nilai atau idealisme yang dirujuk pada masa-masa tertentu, tetapi merupakan cara hidup dan berfikir kebangsaan yang wajib menjadi amalan dalam semua keadaan dan setiap ketika,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan menyalahkan pihak lain semata-mata atau sekadar membuat penafian untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dalam isu keharmonian masyarakat.
Katanya , kegagalan bertindak tegas, adil dan segera terhadap pelanggarannya oleh mana-mana pihak, terutama yang melibatkan kepentingan serta sudut pandang sah orang lain hanya akan mengundang respons buruk daripada kelompok yang terkesan.
Justeru , Pas mengulangi gesaan sebelum ini berhubung ketegasan kerajaan dalam mengawal dan mengurus tindak-tanduk anggotanya sendiri yang dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa dan tugas pihak-pihak berkuasa Islam mahupun kepentingan sah umat Islam yang jelas telah dan akan terus menyumbang kepada konflik, ketegangan dan suasana tidak harmoni, termasuk antara parti-parti komponen kerajaan.
“Persepsi negatif terhadap keazaman politik kerajaan dalam mempertahankan kedudukan Islam serta kesediaan Putrajaya bertindak tegas terhadap anggota sendiri yang melanggar prinsip saling menghormati atau gagal memelihara sensitiviti antara kaum serta agama bukanlah tidak berasas sama sekali,” katanya.
Semalam di Bandar Baru Bangi, Perdana Menteri memberi amaran supaya mana-mana pihak, terutama parti-parti politik tidak ‘menunggang’ isu agama dan kaum untuk kepentingan peribadi kerana perbuatan itu akhirnya akan memusnahkan keharmonian antara kaum dan rakyat.
Beliau mengingatkan bahawa isu agama tidak boleh dijadikan senjata politik kerana tindakan sedemikian seperti membakar diri sendiri dan memusnahkan rakyat..
“Di bulan Ramadan dan hari Jumaat yang mulia ini, kita mahu memberi pandangan serta nasihat kepada rakyat agar tidak melanggar jalur, peraturan dan hukum (berhubung isu kaum serta agama),” katanya.
Nnn