SEPANG 8 Mac – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil tindakan termasuk mengharamkan penjualan sejenis gula-gula menyerupai peranti vape atau rokok yang dibimbangi dapat mempengaruhi kanak-kanak merokok.
Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow, berkata penjualan gula-gula itu yang semakin banyak di pasaran dilihat memberi impak negatif, khususnya kepada murid sekolah untuk menghisap vape dan merokok.
Tambahnya, lebih membimbangkan apabila terdapat juga gula-gula yang menyerupai jarum suntikan yang dilihat boleh memberi gambaran negatif serta mempengaruhi minda kanak-kanak terhadap budaya penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, kanak-kanak berusia seawal tiga tahun terdedah kepada produk yang kelihatan seperti gula-gula, tetapi sebenarnya direka untuk meniru tindakan menghisap peranti vape dan merokok.
“Gula-gula ini bukan sekadar manisan biasa, tetapi boleh menjadi permulaan kepada ketagihan vape dan rokok. Ibu bapa mungkin tidak menyedari risiko ini dan membelinya untuk menenangkan anak-anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kehadiran gula-gula yang kelihatan tidak berbahaya ini sebenarnya adalah pintu masuk kepada tabiat tidak sihat, dengan sesetengah produk mengandungi cecair dan isian semula yang mudah mempengaruhi kanak-kanak.
“Apa yang membimbangkan adalah trend ini akan membiasakan tabiat merokok dan vape untuk generasi akan datang, di mana kanak-kanak secara tidak sengaja belajar cara menggunakan peranti yang meniru rokok atau vape sebenar,” katanya.
Beliau mendakwa produk ini mula memasuki pasaran tempatan kurang enam bulan lalu dan semakin popular dalam kalangan kanak-kanak dan tidak boleh dibiarkan ini menjadi kebiasaan.
CAP menggesa pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera dan memastikan pengedar bertanggungjawab lebih-lebih lagi ketersediaan produk itu dalam talian dan pasaran tempatan menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan dan mengawalnya.
“Apabila kesedaran semakin meningkat, maka tanggungjawab kini bukan sahaja terletak pada ibu bapa, tetapi semua sektor masyarakat terutama kerajaan untuk melindungi generasi akan datang daripada bahaya yang mengintai dalam produk yang kelihatan tidak bersalah,” katanya.
Nnnn