Syed Saddiq dijangka terima peruntukan

KUCHING 8 Mac – Selepas terpaksa menjadi model baju raya untuk mencari peruntukan kepada rakyat, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya dijangka menerima peruntukan bagi kawasan Parlimennya.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata secara prinsipnya, Syed Saddiq bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan kerajaan sebelum ini dan draf perjanjian dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam fasa akhir.

“Insya-Allah selesai untuk Syed Saddiq (bakal terima peruntukan) kerana hanya beliau saja yang memberi maklum balas dengan berjumpa dan mengemukakan surat rasmi,” katanya selepas Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Kompleks Sukan Satok, di sini, hari ini.

Fadillah sebelum ini menggesa Ahli Parlimen pembangkang tampil mengemukakan cadangan terlebih dulu bagi membolehkan jawatankuasa pengagihan peruntukan ditubuhkan.

Katanya, penubuhan jawatankuasa khas penting bagi menyelesaikan isu berkaitan agihan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang secara lebih konsensus dan menyeluruh.

Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mengumumkan menolak draf memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang kerana mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Pembangkang mendakwa, cadangan MoU itu juga bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Syed Saddiq, pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, mengaku terpaksa menjadi model baju raya sebuah jenama fesyen bagi mendapatkan sumbangan untuk pengundi di kawasan Parlimennya.

Beliau berkata, ia susulan usahanya bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan masih belum menemui hasil.

Fadillah berkata, kerajaan juga sedang menunggu maklum balas pihak pembangkang bagi menyediakan surat cadangan untuk diteliti bagi menubuhkan jawatankuasa pada peringkat kerajaan dan juga pembangkang.

“Tetapi setakat ini pihak pembangkang masih belum memberi maklum balas kecuali Syed Saddiq,” katanya.

Related posts

Leave a Comment