Bertentangan prinsip Rukun Negara

PUTRAJAYA – Tindakan mempersenda atau menghina mana-mana agama termasuk Hindu di sebuah stesen radio tempatan milik Astro jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara, kata Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang.

Beliau yang mengutuk tindakan seumpama itu berkata,  semua pihak seharusnya sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama serta budaya di Malaysia.

“Sebagai sebuah negara majmuk, kita harus memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

“Sebarang perbuatan menyinggung perasaan penganut agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aaron juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), bagi memastikan sebarang penyebaran kandungan mempersenda atau menghina agama di media massa dikenakan tindakan sewajarnya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk tidak mencetuskan ketegangan atau perasaan benci antara penganut agama, selain setiap tindakan menggugat perpaduan dan keharmonian negara harus dipandang serius.

Sementara itu, Kementeri Komunikasi mengarahkan MCMC menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial pagi tadi.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata antara lain MCMC perlu memanggil Astro dan pengurusan stesen radio Era FM hadir ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh.

“Kami sudah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial pagi tadi

Jadi, saya arahkan MCMC menjalankan siasatan terperinci termasuk memanggil pihak Astro dan pengurusan stesen radio itu hadir memberi penjelasan lanjut di ibu pejabat MCMC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo menerusi kenyataan berkata Astro mesti menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap petugas Era FM, kerana mempersendakan ritual suci membawa kavadi pada hari Thaipusam.

“Perbuatan individu dalam video itu sangat menyinggung perasaan dan amat membimbangkan. Mereka tidak mencerminkan nilai saling menghormati dan memahami yang menjadi asas kepada masyarakat berbilang budaya kita.

“Ritual membawa kavadi pada hari Thaipusam membawa maksud mendalam kepada masyarakat Hindu. Sebarang bentuk ejekan atau tidak hormat terhadapnya, atau mana-mana amalan agama tidak boleh diterima,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial tindakan tiga penyampai radio stesen milik Astro, Era FM dilihat seolah-olah mempersendakan upacara agama lain dalam segmen kendalian mereka.

Penyampai radio berkenaan kemudiannya membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka menyinggung sensitiviti kaum di negara ini. .

Related posts

Leave a Comment