SEPANG 4 Mac – Golongan pesawah perlu diperkasakan melalui koperasi ataupun persatuan peladang yang sedia ada, bagi membolehkan mereka untuk memproses dan menjual hasil mereka terus kepada pengguna.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah itu bagi mengelakkan golongan petualang menekan serta terus-menerus menipu rakyat berhubung jualan beras tempatan
Beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang mengatakan aktiviti campuran beras putih tempatan (BPT) dan import berlaku sejak 1970-an lagi..
“Tetapi, kalau dahulu harga BPT dan import tidak begitu beza berbanding sekarang iaitu perbezaan hampir RM6 hingga RM10 per 10 kilogram (kg).
“Dahulu, bekalan beras tempatan juga masih boleh didapati di kebanyakan kedai berbanding hari ini yang seakan-akan hampir tak wujud.
Bila kita desak untuk dakwa petualang ini, alasan tiada peruntukan undang-undang jelas boleh digunakan pula. Akhirnya rakyat ditipu oleh kartel kerana terpaksa beli beras tempatan dengan harga beras import,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO itu berpendapat, keberadaan beras putih tempatan (BPT) hanya mampu didengar, tetapi tidak dapat dilihat jika Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) enggan mengambil langkah penyelesaian.
Beliau baru-baru ini menggesa kerajaan menarik balik lesen pengilang yang mencampurkan beras tempatan ke dalam pek import dan kemudian dijual dengan harga mahal di pasaran.
Sebelum ini, Mohamad memberitahu, dapatan kajian dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ke atas industri padi dan beras sejak awal tahun mendapati tindakan itu berlaku sejak 1970 lagi selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).
Jelas beliau, kajian MyCC juga merumuskan tujuan campuran itu dibuat bagi memenuhi cita rasa pengguna tempatan selain menghasilkan variasi jenama di pasaran.
Justeru, menurutnya lagi, KPKM telah diarahkan supaya memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik bagi mengawal percampuran BPT dan beras import melalui perundangan.
Kata ahli Parlimen Kota Raja terbabit, KPKM juga perlu merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dikemukakan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Pada minggu lalu, skandal beras campur terbongkar selepas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendedahkan kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan BPT.
Susulan itu Akmal menggesa kerajaan supaya menarik balik lesen pengilang yang mencampurkan beras tempatan ke dalam pek import dan kemudian dijual dengan harga mahal di pasaran.
Nnnn