25 tokoh agama anggotai Jawatankuasa Harmoni

PUTRAJAYA  19 Feb. – Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) melantik 25 tokoh mewakili pelbagai agama sebagai anggota jawatankuasa itu.

Mereka terdiri daripada 10 wakil Islam, Buddha (empat), Kristian (empat), Hindu (dua), Tao (dua) dan masing-masing satu wakil bagi Sikh, Bahai serta Unit Lain-lain Agama (UNIFOR), Sarawak.

Satu mesyuarat berkaitan diadakan yang dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang

Antara yang dilantik ialah Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Muhammad Nur Manuty; bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Datuk Seri Zaleha Kamarudin; Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Turut dilantik, Naib Presiden Persatuan Buddha Malaysia, Chuan Yuan; tokoh Buddha, Sing Kan; Pengerusi Persekutuan Kristian Evangelikal Nasional (NECF), Dr Eu Hong Seng dan Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Philip Thomas.

Selain itu, Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman, Tan Sri R Nadarajah; Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Sardar Jagir Singh Arjan Singh; Presiden Persekutuan Persatuan Tao Malaysia, Tan Hoe Chieow dan Pengarah UNIFORmdan Datuk Georgina Apphia Ngau.

Harmoni dalam satu kenyataan memaklumkan, mesyuarat membincangkan mengenai usaha pengukuhan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama serta budaya di Malaysia

Mesyuarat pada hari ini membincangkan secara terperinci mengenai keputusan Jemaah Menteri berhubung garis panduan kunjungan penganut agama Islam ke rumah ibadat selain Islam dengan mendengar pandangan daripada semua wakil agama.

“Kesemua ahli mengambil maklum keputusan Jemaah Menteri yang menetapkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberi nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan untuk menjaga akidah dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam, namun nasihat tersebut adalah tidak bersifat dasar,” kata kenyataan itu.

Jawatankuasa Harmoni diharapkan menjadi platform yang berkesan dalam menguruskan isu-isu perpaduan dan memupuk persefahaman dan keharmonian antara ketua dan penganut agama bagi menyokong matlamat membangun Malaysia Madani.

Related posts

Leave a Comment