Mempersiapkan jentera parti mempertahankan ‘simpanan tetap’

PERHIMPUNAN Agung UMNO berakhir dengan membawa mesej jelas untuk dilaksanakan anggota parti di setiap peringkat. Dengan tekad meneruskan agenda transformasi politiknya, sudah pasti perhimpunan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan memperbaharui tekad untuk memperbaiki kedudukan parti pada PRU akan datang. Sebagai catatan, UMNO memenangi 88 daripada keseluruhan 133 kerusi Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) berbanding 79 pada 2008. Ini satu peningkatan kejayaan hasil sokongan orang Melayu dan Bumiputera, khususnya di luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak. Maka memang wajar, penegasan terhadap Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dijadikan agenda nasional dan mesti dilaksanakan bersungguh-sungguh oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Agenda yang bertujuan memperkasakan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera itu, sewajibnya menjadi agenda teras nasional berdasarkan kedudukan sebagai kaum majoriti.

Sebagai catatan, jumlah rakyat Malaysia pada 2013 menunjukkan orang Melayu dan Bumiputera berjumlah 18.6 juta atau 67.9 peratus, Cina 6.6 juta (24 peratus), India dua juta (7.2 peratus) manakala lain-lain kaum 259,000 yang mewakili 0.9 peratus.

Kembali kepada Perhimpunan Agung UMNO 2013 baru-baru ini, adakah segala ucapan, kenyataan, pandangan serta kritikan yang dibangkitkan sepanjang perhimpunan itu akan menjadi pegangan anggota parti untuk memperbaharui tekad perjuangan mereka terutama menjelang PRU14? Atau adakah ia akan menjadi seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri atau seperti mencurah air ke daun keladi?

Seperti kata Najib Tun Razak sebelum mengakhiri ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO, Khamis lalu: ‘‘Kita tidak berhimpun untuk bersuka-suka. Jangan sesekali kita lupa, di perhimpunan-perhimpunan Agung UMNO inilah agenda-agenda umat Melayu dan Bumiputera dijulang. Di sinilah UiTM dimartabatkan, di sinilah nasib penjawat awam dibela, di sini Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan, di sinilah institusi-institusi Melayu dan Bumiputera diperjuangkan.’’

Sama ada kehadiran anggota UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai perwakilan, pemerhati atau sekadar anggota biasa yang setia kepada parti, setiap daripada mereka perlu membawa pulang tekad untuk terus mempertahankan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRU akan datang. Jangan semangat yang berkobar-kobar di sekitar PWTC terutama ketika di Dewan Merdeka hilang begitu sahaja selepas meninggalkan Kuala Lumpur. Semangat dan iltizam di PWTC perlu dibawa pulang bersama-sama mereka yang datang dari Arau hingga Semporna.

Ingatlah bahawa perjalanan untuk menuju PRU14 sebenarnya bukanlah satu tempoh yang terlalu panjang. Apakah UMNO khususnya sudah bersedia menghadapi PRU akan datang? Kejayaan pada PRU13 tidak boleh meletakkan UMNO/BN dalam keadaan selesa. Masih ada ruang yang perlu diperbaiki walaupun BN berjaya mendapatkan Kedah dan memperbaiki kedudukan di Perak. Tetapi apa pula nasib Pulau Pinang, Selangor serta Kelantan? Seluruh anggota UMNO perlu mempunyai cita-cita untuk mencatatkan kejayaan yang lebih baik.

Bagi parti pembangkang, komitmen mereka tidak pernah padam. Mereka sentiasa bekerja keras untuk memastikan matlamat menawan Putrajaya menjadi kenyataan. Begitu juga dengan sasaran mengekalkan penguasaan di Pulau Pinang dan Selangor. DAP misalnya tidak pernah berputus asa untuk terus mengejar impian menjadi pemerintah bersama rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang iaitu Pas dan PKR. Harus diingat, komitmen DAP untuk menguasai sesebuah negeri seterusnya Malaysia tidak pernah padam. Selak kembali kesungguhan Lim Kit Siang untuk menawan Pulau Pinang melalui Projek Tanjong ketika beliau menjadi Setiausaha Agung DAP. Walaupun Kit Siang pernah kecewa dalam era perjuangannya tetapi matlamat menawan Pulau Pinang menjadi kenyataan pada PRU 2008 seterusnya mengekalkan penguasaan pada PRU lalu. DAP juga berjaya merobek negeri yang selama ini menjadi ‘simpanan tetap’ BN pada PRU lalu iaitu di Johor dan Sarawak dengan peningkatan undi dan kerusi. Cuma Sabah masih belum mampu digugat oleh pakatan pembangkang.

Tetapi pembangkang tidak akan berdiam diri untuk terus cuba ‘memeluk atau mendakap’ kemenangan di Sabah dan Sarawak yang berjaya menyumbang kerusi Parlimen yang banyak kepada BN (Sarawak 25, Sabah 22) pada PRU lalu. Sebagai membalas sumbangan itu, Kabinet melantik tujuh menteri dan empat timbalan menteri dari Sarawak dan enam menteri dan empat timbalan menteri dari Sabah. DAP sudah pun menyusun langkah untuk mengurangkan ‘simpanan tetap’ ini. Adakah BN di Sabah dan Sarawak bersedia menghadapi pakatan pembangkang khususnya DAP?

Tentunya UMNO Sabah yang menyumbangkan 11 kerusi Parlimen tidak boleh me-mandang ringan kesungguhan DAP bersama rakan-rakannya itu. Johor yang pernah mendapat jolokan tiang seri UMNO atau jantung BN juga mula digugat pembang-kang. Adakah pada PRU akan datang, giliran Sabah pula menjadi ‘mangsa’? Beberapa fak-ta menarik mengenai ‘kekuatan’ Sabah harus diberi perhatian. Daripada jumlah ahli berdaftar seramai 3,430,750 di 21,208 cawangan, Sabah mencatatkan keahlian se-ramai 518,773 orang. Bahagian Silam pula mencatat jumlah ahli tertinggi iaitu seramai 49,880 orang. Sabah juga memegang rekod keahlian teramai iaitu 1,855 orang di cawangan Kampung Tinosa Jaya, Libaran.

Begitulah kehebatan UMNO di Sabah. Namun UMNO Sabah dan di seluruh negara tidak boleh alpa dan lalai dengan ‘cerita kejayaan semalam’. Begitu juga dengan cerita wakil rakyat DAP dan PKR meninggalkan parti berkenaan serta pembubaran cabang PKR di negeri itu. UMNO perlu mempersiap dan mengukuhkan parti. Seperti kata Najib, UMNO harus memperkukuh kuda-kuda dan memperkemas kisi-kisi, untuk menonggak BN dan negara supaya bukan sahaja boleh terus mentadbir lima tahun akan datang malahan bagi tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang. Bagi mencapai matlamat itu, masih banyak yang perlu dilakukan oleh BN khususnya UMNO.

Kata Najib : ‘‘Kita tidak akan sekali-kali duduk berpeluk tubuh dan lemah bersimpuh, sebaliknya di perhimpunan ini kita akan memperbaharui tekad dan menggagas semula formula kejayaan berteraskan lima pengisian transformasi,’’.

UMNO Sabah dalam reaksi terhadap ucapan dasar Najib menyambut baik amanat itu. Seperti kenyataan Penolong Setiausaha UMNO Sabah, Masidi Manjun, segala nasihat dan saranan Najib perlu dilaksana dalam usaha mengharungi transformasi politik. Baginya, amanat itu wajar dijadikan pedoman dan panduan kepada seluruh ahli UMNO bagi menghadapi PRU akan datang. Penting juga bagi parti komponen BN di Sabah yang turut menyumbang kemenangan. Mereka harus sama memperkukuhkan kedudukan terutama di kawasan yang dimenangi dengan majoriti kecil.

Apa yang lebih penting ialah semangat perpaduan dalam kalangan anggota parti yang sudah mengharungi pemilihan baru-baru ini. Mereka harus melupakan segala perselisihan faham selepas pemilihan. Seperti kata Najib dalam bahasa Iban: Utai Besai Gaga’miet yang membawa maksud, jika kita bersatu padu, hidup saling berganding-ganding, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

UMA091213010C001_3

Related posts

Leave a Comment